Saturday, November 9, 2024

Hatiku Tertinggal di Istanbul.

Bismillah.

Kebelakangan ini, terlalu banyak perkara yang mengingatkan saya kepada negara Turkiye, lantas membuatkan hati ini sangat rindukan tempat itu, khususnya Istanbul. Terasa ingin catat sesuatu tentang kenangan berada di sana setakat yang saya ingat. 

Ketika berada di Istanbul, saya tak ada kongsikan tentangnya di mana-mana platform social media milik saya. Sekadar tersimpan dalam handphone dan kamera.  



Tapi tak banyak gambar yang masih ada. Video? Langsung tak ada. Kamera yang saya gunakan untuk ambil gambar di sana rosak & gambar tak dapat retrieve. Yang dalam handphone ada sedikit, tetapi qadarullah, handphone tu pula dicuri orang. 

Dalam handphone suami juga tak ada gambar atau video kerana ketika itu, suami lebih memilih untuk menikmati realiti dan melakarnya dalam memori, bukan teknologi. Lagipun baginya, cukup saya seorang yang ambil gambar  

Kami ke sana pada 12 April 2014, ketika musim bunga di Turkiye. Sebenarnya Turkiye adalah sebagai persinggahan dalam perjalanan kami menunaikan umrah. Jadi kami hanya berada di sana selama 4 hari.

Those dates. <3

Tak puas rasanya tapi syukur Alhamdulillah dapat juga merasa berada di negara 4 musim ketika usia sudah dewasa. Walaupun saya pernah tinggal di UK tetapi sedikit pun saya tak ingat tentangnya memandangkan waktu itu saya belum pun mencecah umur setahun. 

Saya masih ingat lagi, ketika kapal terbang hampir mendarat, suami pesan kepada saya yang lebih kurang maksudnya 

"Appreciate the moment when you step out of the airport, the moment of being in a foreign country for the first time. Embrace your first ever experience of breathing the air of a four-season country. The feeling is precious."

Suami saya dah banyak pergi ke luar negara semasa zaman bujangnya. Jadi tahap keterujaannya ketika kami ke Turkiye tidak setinggi saya. 

Antara momen yang membahagiakan saya & tersimpan rapi dalam memori ketika berada di sana (tetapi tiada gambar) ialah:

1) pertama kali keluar dari Istanbul Airport dan merasa kesejukan luar negara. (Musim bunga tapi tetap sejuk sehingga bibir kering dan sedikit merekah).

2) pertama kali naik bas di atas jalan kota Istanbul, dengan pemandangan kiri kanan yang mesmerizing, sedikit berbukit dengan kelihatan masjid berkubah indah dari kejauhan. 

3) naik feri untuk pergi ke Turkiye bahagian Eropah, dapat turun bas dan berjalan dalam feri, menikmati pandangan langit biru yang sangat cantik dan pertama kali dapat tengok burung camar (seagull) dengan jarak dekat. 

4) naik kapal merentasi Selat Bosforus. Tour guide (Ahmad) cakap, kalau kamu beruntung, boleh nampak dolfin. Waktu tu saya terus berdoa untuk diberi peluang tengok dolfin dan Alhamdulillah ada 3-4 ekor dolfin yang berlumba-lumba di sekeliling kapal. Pemandangan deretan rumah agam di sepanjang selat juga terasa seperti dalam mimpi. It was so surreal. 

5) Dapat menjejakkan kaki dalam Aya Sofea. Waktu itu ia masih belum jadi masjid. 

6) Ada satu kenangan agak rare, iaitu lelaki tempatan yang kami temui dalam Aya Sofea (dia tertarik nak bergambar dengan anak saya yang ketika itu berumur 2 tahun lebih), kami temui juga dia di Turkiye bahagian Eropah keesokan harinya dan kami bertegur sapa (dia cam anak saya). Sebenarnya bukan lelaki itu sahaja yang tertarik & nak bergambar ketika melihat anak saya, agak ramai orang tempatan yang berbuat demikian. Saya agak, sebab anak saya pakai tudung dan di sana mungkin ketika itu ia bukan satu kebiasaan bagi mereka untuk pakaikan tudung untuk anak perempuan yang masih kecil. 

7) Pemandangan jalan kecil belakang bilik hotel kami yang saya sangat suka. Jalan yang sedikit menurun bukit, dengan pintu-pintu rumah yang cantik beserta bunga di sana sini dan kerusi meja kecil untuk berehat di luar. Ternyata saya jatuh cinta & rindu untuk berada di tempat sedemikian sekali lagi. 

Dah agak panjang rasanya saya menulis. Saya akan kongsikan gambar-gambar di sana yang masih ada dalam simpanan. 














That's all. Ada sedikit rasa tak percaya yang after 10 years barulah saya berkongsi tentang pengalaman berada di Istanbul. Semoga ada rezeki untuk ke sana lagi. Amin.