Showing posts with label kisas. Show all posts
Showing posts with label kisas. Show all posts

Wednesday, March 16, 2016

Mereka Hilang

Bismillah.

Siang tadi saya menghantar anak untuk menyertai program di salah sebuah playschool. Tak sangka di situ akan terjumpa kawan rapat zaman uia dan juga kisas. 2 jam lebih berlalu dengan sangat pantas kerana terlalu banyak perkara yang kami bualkan sementara menunggu anak-anak selesai berprogram.


Majdiyya & Abqori

Saya meninggalkan playschool tersebut dengan perasaan yang agak terkilan dan sedih dan hampir tidak mahu percaya. Bercerita tentang nasib sahabat-sahabat kami yang suatu masa dahulu memang rapat dan kerap ke sana sini bersama.

Cerita sedih, cerita yang tidak tahu apa khabarnya, cerita yang memilukan dan akhirnya menyesakkan dada kerana tidak mampu membantu, Allahu akbar, hebatnya ujian orang lain jika hendak dibandingkan dengan diri ini.

Kebanyakan teman-teman yang entah di mana sekarang itu, tidak dapat dihubungi kerana mereka seolah-olah sengaja menjauhi kami. Tidak nampak bayang di FB, apatah lagi di whatsApp atau social media yang lain. Ada apa sebenarnya yang berlaku sehingga mereka lebih selesa tidak dihubungi oleh rakan-rakan.

Paling terkilan kerana mereka itu adalah kawan baik kita, yang pernah belajar bersama, siang malam diluangkan masa bersama, pernah menangis ketawa bersama, dan kini semua itu seolah-olah itu tidak pernah berlaku gara-gara hilangnya jejak juga hubungan di antara kami.

Ya Allah andai ada cara untuk aku bantu mereka, Kau tunjukkanlah. Andai aku sememangnya tidak ada daya apa pun untuk meringankan beban mereka, hanya padaMu lah aku menyandarkan harapan dan doa. Moga-moga teman-teman yang aku kasihi itu sentiasa bahagia dan mampu membesarkan anak-anak mereka dalam suasana yang tenang dan sakinah. Jagalah mereka dari segala kejahatan Ya Rabb...

Sungguh, hati ini masih terkilan.





Wednesday, December 9, 2015

Senja Menanti Maghrib

Bismillah.

Waktu senja hampir Maghrib selalu sahaja membawa fikiran ini melayang ke zaman belajar di KISAS 10 tahun yang dulu. Kerana bacaan alQuran yang dipasang di corong masjid sebelum masuk waktu Maghrib seolah mengingatkan diri ini tentang suasana di surau asrama puteri sewaktu di KISAS. Sambil tunggu masuknya waktu Maghrib, jasad ini sudah terbiasa untuk turun awal dan membaca beberapa helaian alQuran, adakala dengan perasaan sayu, kerana rindu akan keluarga yang jauh di Johor. Namun perasaan ketika itu juga sememangnya indah, berada di surau yang dipenuhi teman-teman yang sama-sama menanti waktu solat, sambil masing-masing mencari pahala dengan membaca ayat-ayat cinta dari Tuhan.

Terkadang rasa sungguh rindu pada zaman itu, sungguh. Namun bukan rindu untuk kembali ke suasana itu, akan tetapi rindu untuk menjadi diri yang suci seperti ketika itu. Di Kisas lah diri ini mula belajar akan erti pergantungan kepada Tuhan, belajar untuk berbicara dengan kawan-kawan akan hebatnya Tuhan, juga belajar untuk meneruskan perjuangan meski sekali sekala rasa jatuh terjelepuk ke hadapan. Almaklum, sebelum Kisas, diri ini tidak pernah berada di sekolah agama, yang benar-benar menitikberatkan soal agama selain akademik.

Bukanlah terlalu suci, namun waktu itu segalanya masih baru. Jiwa masih baru dalam mengenali pengorbanan kepada agama, semangat masih baru dalam mengamalkan ilmu-ilmu agama yang sentiasa memenuhi hari, tak kira siang ataupun malam. Waktu itu, hati masih terasa suci, masih dipenuhi ilmu agama semata. Cabaran yang datang juga hanya lah tentang pelajaran. Tiada masalah hati, tiada masalah terlalu leka dengan urusan dunia.

Ya Allah betapa aku rindu diriku di waktu itu. Ampunkan khilafku selama aku meninggalkan bumi waqafan Kisas yang disayangi. Terima kasih ya Allah kerana pernah mencampakkan diriku ke sana. :')