Showing posts with label positive. Show all posts
Showing posts with label positive. Show all posts

Tuesday, February 16, 2016

Minat dari Kecil? Part 2

Bismillah.

Lama juga tinggalkan blog ni, sepatutnya setiap bulan sekurang-kurangnya ada satu entry. Tapi ter'skip' bulan Januari. Januari? Bulanku. T___T Nampaknya untuk tahun 2016, blog ini dirasmikan sedikit lewat, iaitu pada pertengahan Februari.

Kalau dulu mungkin boleh kerap menulis, boleh sekurang-kurangnya sebulan ada dua entri, sebab hanya di blog lah tempat menulis panjang-panjang. Tapi sekarang, ada instagram, ada telegram channel, ada facebook, yang padanya ada tulisan-tulisan dari jari jemari ini. :D Sebenarnya ada masa tapi mungkin tak berapa pandai lagi untuk susun masa. Otak berselirat, asyik fikir ada banyak lagi benda penting yang perlu dibuat selain menulis. Lagipun, terasa macam menulis ni syok sendiri je. Cuma bila ada ejen yang tanya mana sambungan entri Minat Dari Kecil sebelum ni, terharu rasanya ada orang yang baca dan menunggu kesinambungannya. :')

Okay tentang sebab saya mula berbisnes tu, secara ringkasnya semua bermula dengan IMKK. Seminar Dr. Azizan. Dalam seminar tu dia tak suruh kita berbisnes pun, tapi dia buat kita rasa kita perlu buat bisnes. Sebab apa? Sebab kita perlu ada duit. Sebab apa? Sebab bila ada duit, kita akan ada banyak peluang untuk tolong lebih ramai orang. Sebelum ni, saya hanya suri rumah, yang tak ambil tahu berapa gaji suami, tak kisah dalam bank ada duit sikit je. Sebab saya cuma fikir nak jaga anak betul-betul (memang setiap jam dipenuhi dengan melayan & mengajar anak). Dulu masa zaman belajar pun memang ini lah impian saya. Haha, sungguh tak bercita-cita tinggi kan? Dulu cita-cita saya; nak jadi ibu yang terbaik, yang duduk di rumah, dan menulis buku.

Dan masa saya pergi IMKK tu baru saya tersedar bahawa apa yang saya sedang buat masa tu, hanya memberi manfaat kepada diri sendiri & anak sahaja. Saya tak terfikir langsung untuk memberi manfaat kepada lebih ramai orang. Dan waktu di IMKK lah saya mula tekad untuk ada duit sendiri, mahu ada banyak duit! Bukan mahu mewah tapi mahu cuba untuk jadi manusia yang banyak memberi. Berapa ramai lagi manusia yang hidup melarat di luar sana yang perlukan bantuan kita? Betapa ramai lagi keluarga kita di luar negara sana yang hanya makan dedaunan demi meneruskan hidup? Dan apa yang kita dah lakukan sedangkan kita ada kudrat untuk mencari wang untuk disumbangkan kepada mereka? Siapa lagi kalau bukan kita yang membantu???

Selain nak cuba bantu orang lain, antara niat utama nak berbisnes ni adalah sebab nak bahagiakan parents. Nak beli rumah besar dan banyak bunga untuk ibu, nak hantar ibu ayah ke tanah suci. Dalam adik beradik, belum ada lagi yang bergaji besar yang mampu belikan rumah baru untuk mereka, jadi saya fikir, biar saya yang ambil tanggungjawab tu. Satu kata-kata Dr. Azizan yang saya sangat-sangat ingat hingga sekarang; "Apa yang penting ialah kita bahagiakan orang yang kita sayang & yang nak tengok kita bahagia."

Jadi itulah sebenarnya pencetus wujudnya perasaan ingin berbisnes dalam diri ni walaupun zero knowledge pada mulanya. Kadangkala terlupa juga niat asal berbisnes, tapi akan kerap ingatkan diri bahawa berbisnes ni bukan semata untuk cari duit kemudian simpan, tapi duit tu untuk orang lain. Untuk orang yang lebih memerlukan. Dan juga untuk memenuhi keperluan orang lain, untuk beri servis terbaik, untuk menambah nilai dalam kehidupan orang lain.

Saya sangat sukakan dunia bisnes walau ia amat mencabar. Tipu lah kalau saya kata saya tak pernah rugi berpuluh-puluh ribu, tapi harus teruskan dan bangkit sebab ada banyak sebab saya perlu bertahan. Kalau nak cerita tentang "kenapa saya suka dunia bisnes", memang perlukan satu entri baru. Atau mungkin boleh dijadikan buku. ;)

Terima kasih untuk yang sudi baca. Minta izin undur diri dulu. <3




Sunday, October 25, 2015

Positif itu Indah

Bismillah.

Sekarang ni banyak betul rancangan realiti TV termasuklah yang berunsur Islamik. Setakat ini yang saya pernah tonton beberapa episod cuma Da'ie Pendakwah Millenia sebab ia ditayangkan di TV3. Kalau ditayangkan di Astro, memang tak berpeluang saya menontonnya. :)

Saya tak mahu komen tentang rancangan tersebut, namun saya terasa seperti mahu menegur orang-orag yang dengan lantangnya mengatakan program Da'ie ini sia-sia dan sekadar mahu menaikkan rating penonton. (Dulu sebelum saya terlibat dengan dunia bisnes, saya memang tak faham untuk apa sesuatu rancangan itu perlukan rating penonton yang tinggi).

Saya bukan mahu mempertahankan program tersebut, namun saya rasakan bahawa melontarkan pandangan buruk mereka terhadap rancangan seperti itu secara terbuka agak tidak wajar. Jika ia tentang menegur bab ikhtilat atau apa sahaja yang melanggar agama, itu seharusnya ditegur. Namun untuk menyuarakan bahawa program sedemikian tidak patut disiarkan atau ditonton, saya tidak bersetuju.

Ya, mungkin program-program Islamik di TV tidak sempurna, ada terselit khilaf yang disaksikan oleh berjuta penonton, akan tetapi, mengapa kita tidak cuba untuk melihatnya dari sisi kebaikan? Tidak pernahkah kita terfikir betapa ramai yang serba sedikit mula tahu tentang Islam atau tokoh-tokoh Islam, berapa ramai yang menitis airmata mendengar ceramah ringkas mereka, dan berapa ramai yang mungkin turut terinspirasi untuk menjadi pendakwah kepada orang lain tak kira apa jua caranya?

Poin utama saya cuma satu: CUBALAH UNTUK MEMANDANG SISI POSITIF TENTANG SESUATU PERKARA, terutamanya tentang usaha orang lain dalam menyebarkan agama. Mengapa perlu sentiasa mahu kondem apa sahaja isu yang sedang viral? Kalau sememangnya perkara tersebut dilarang agama, kita tidak berdebat tentangnya. Namun jika ia tentang perkara yang harus dan dibenarkan, cubalah untuk sentiasa berfikir positif tentang orang lain.

Sebenarnya, jika kita ini terlalu banyak melontarkan pendapat serta menzahirkan perasaan yang negatif tentang sesuatu perkara, pada hakikatnya ia hanya membuka aib kita. Ia membuatkan orang lain melihat bahawa kita ini sentiasa sahaja dipenuhi dengan perasaan negatif dan ada sahaja perkara yang mahu kita kondem tentang apa jua isu.

Jadilah positif. Fikir positif tentang orang lain, ucap yang positif tentang itu ini, lakukan yang positif yang termampu kita laksanakan. Andai dalam hati kita penuh dengan aura negatif, benci itu dan ini, fikir buruk tentang orang sana sini, apa yang kita boleh dapat? Cuma hati yang penuh rasa benci & tidak puas, hati yang sentiasa mahu mencari kesalahan orang lain dari setiap sisi & hati yang sukar untuk memandang bahawa orang lain lebih baik dari kita.

Jom? Ubah minda & hati kita untuk sentiasa bersangka baik tentang orang lain & mencari sudut yang positif dalam apa jua perkara. :)

Wallahua'lam.