Tapi ada satu yang paling saya tak mampu lupakan ialah bila ada pasangan tua dari Bangladesh yang datang meminta saya untuk bantu mereka buat panggilan ke negara mereka. (kami berada dalam salah satu mall berdekatan Masjidil Haram).
MASALAH KOMUNIKASI & TEKNOLOGI
Ketika itu, komunikasi kami agak sedikit sukar kerana saya tidak faham bahasa yang mereka tuturkan, tak silap mereka guna bahasa Benggali (kalau bahasa Urdu saya boleh faham juga, ada orang Bangladesh yang boleh berbahasa Urdu tapi tak semua).
Mereka juga tidak tahu English, tapi pasangan tua tersebut ada tunjukkan pada saya buku kecil bertulis nombor telefon seseorang. Fahamlah saya bahawa dia mahu menghubungi nombor tersebut.
Satu lagi masalah yang timbul ialah bila saya tidak biasa dengan telefon yang digunakan, telefon Nokia ber'key-pad' tetapi yang saya tidak berapa tahu menggunakannya. Saya cuba buat panggilan ke nombor yang dimaksudkan, tetapi katanya di situ, panggilan ke luar negara adalah tidak dibenarkan.
Saya cuba install whatsApp ke telefon tersebut, dengan harapan sekurang-kurangnya dapat berhubung melalui message, tapi tak berjaya kerana memori tidak mencukupi dan ada lagi masalah lain.
WAJAH RUNSING MEREKA
Melihatkan wajah mereka, saya sejujurnya dapat memahami bahawa mereka tidak biasa berada di negara asing, mereka tiada kenalan di situ, dan mereka betul-betul perlu buat panggilan kepada ahli keluarga, besar kemungkinan untuk memberitahu bahawa mereka sudah selamat sampai di Tanah Haram.
Ketika itu kami berada berhampiran dengan kiosk yang menjual simkad (pasangan tersebut baru beli simkad dari kiosk itu).
Saya hampir berputus asa untuk mencuba sebab saya dah cuba segalanya yang saya mampu dan tetap tak berjaya buat panggilan. Sedih juga rasanya sebab tak berjaya tolong. 😢
Saya cuba pergi ke kiosk simkad tersebut untuk meminta bantuan, tapi malangnya kiosk tersebut terlalu penuh dan dikerumuni ramai orang, terutamanya rombongan jemaah haji yang baru tiba di Mekah dan perlukan simkad tempatan.
MINTA TUHAN PERMUDAHKAN
Ketika itu saya tiada lagi pilihan lain kecuali terus mencuba dan minta Allah bantu saya untuk membantu mereka. Tak sampai hati rasanya jika saya tidak berjaya membantu mereka menghubungi ahli keluarga.
Untuk yang entah ke berapa kali, saya cek lagi mana-mana setting yang boleh saya selaraskan. Agak mengambil masa juga dan Alhamdulillah, dengan izin Allah, saya jumpa setting yang betul dan akhirnya berjaya membuat panggilan tersebut.
Saya buat panggilan ke nombor yang tertulis di buku kecil mereka & kedengaran ada suara lelaki yang menjawab. Terus saya segera beri pada pakcik tua itu.
AIRMATA GEMBIRA
MashaAllah tak dapat saya gambarkan betapa bersyukur rasanya bila saya lihat wajah gembira mereka bila dapat bercakap dengan ahli keluarga. Mereka mengucapkan terima kasih kepada saya (dalam bahasa mereka) dan saya dapat lihat mata mereka berkaca-kaca.
Berulang kali mereka mengucapkan terima kasih kepada saya dan wallahi, rasanya saya lah yang lebih gembira berbanding mereka.
Gembira kerana dapat memberi bantuan kecil, gembira kerana dapat melihat wajah kelegaan mereka, gembira kerana Allah bantu saya dalam membantu orang lain meski pada awalnya ia kelihatan amat sukar bagi saya.
BENARLAH BAHAGIA ITU PADA MEMBERI
Sungguh, memang ada perasaan yang sangat bahagia dalam hati saya selepas dapat membantu pasangan tua itu. Betapa sejak itu saya yakin bahawa untuk bahagia, cara paling mudah adalah dengan memberi.
Adakala kita fikir kita akan bahagia bila kita dapat itu dan ini, tapi kita tak mampu jamin bahawa apa yang kita mahu itu memang akan jadi milik kita. Kerana itu, kalau kita mahu rasa bahagia/gembira, apakata kita gembirakan orang lain dengan apa sahaja cara yang kita mampu.
Tak rugi memberi, dan saat memberi, tak perlu harapkan apa-apa sebagai pulangan, tapi yakinlah bahawa kebaikan itu pasti akan datang semula kepada kita dalam pelbagai cara dari Tuhan. Tak sekarang, mungkin esok, mungkin lusa, mungkin nanti bila giliran kita yang memerlukan.
DOA YANG IKHLAS
Salah satu perkara yang paling saya suka bila dapat membantu orang lain ialah apabila mereka mendoakan kita. Biasanya bila ada orang tolong kita, mesti automatik dalam hati kita akan doakan mereka kan?
Dan saya percaya, setiap doa yang dituturkan oleh mereka yang telah kita bantu ialah doa yang cukup ikhlas, yang mudah-mudahan Allah akan makbulkan.
Dalam dunia ni, adakala nikmat yang kita dapat bukanlah atas usaha kita, tapi atas doa-doa orang lain yang ikhlas buat kita. Betapa indah sebenarnya hidup ini apabila kita cuba untuk membahagiakan orang lain dan cuba memberi apa yang kita mampu.
Allah itu Maha Adil, Maha Penyayang, tak ada satu pun yang kita lakukan yang sia-sia. Mungkin ada ganjaran yang tidak dapat kita lihat di dunia ini, tapi percayalah ada sesuatu yang besar yang tidak tergambarkan oleh kita yang telah Allah simpan untuk kita di sana nanti.
Kita tidak minta manusia untuk beri ganjaran pada kita, cukuplah Allah beri ganjaran dan pilih kita untuk ke syurgaNya. Kerana di sana tempat berkumpulnya manusia-manusia yang Allah cinta. Apa lagi yang kita cari kalau bukan syurga & cintaNya?
p/s: post ini dari penulisan saya di Facebook pada tahun 2017

No comments:
Post a Comment