Showing posts with label bisnes. Show all posts
Showing posts with label bisnes. Show all posts

Thursday, February 14, 2019

Koleksi Buku Nota Peribadi

Bismillah.

Untuk entri kali ini, saya hanya ingin berkongsi jenis-jenis buku nota yang saya ada. Dengan harapan ia dapat bantu memberi inspirasi kepada kalian untuk mewujudkan buku nota yang sama atau seumpama dengannya, supaya dapat memperbaiki hidup dan bantu kita jadi manusia yang lebih baik dari semalam inshaAllah. Saya akan tulis penerangan pendek setiap buku di setiap gambar.

Di dalam buku ini, saya tuliskan perkara yang saya ingin improve atau ubah tentang diri saya. Contohnya saya mahu upgrade solat sunat dhuha dari 2 rakaat menjadi 4 rakaat. Maka saya akan tulis. Dan saya akan tulis target yang baru sekiranya saya berjaya jadikan target sebelum itu sebagai rutin harian. Di sini saya cuba untuk praktis baiki diri sedikit demi sedikit tetapi secara berterusan.

Idea datang tak kira masa, dan harganya mahal. Jadi bila ada sahaja idea yang menerjah, saya akan terus tulis dalam buku ini supaya saya tak lupa. Samada berkaitan kehidupan peribadi, family, Elsajida, dan sebagainya. 

Catatan untuk sebelum meeting dengan team Elsajida & ketika meeting. 

Catatan tazkirah dari kuliah offline atau online.

Idea untuk mewujudkan journal ini diilhamkan oleh Carrie Green, penulis buku She Means Business. Katanya journal sebegini akan membantu kita sedikit sebanyak dalam perjalanan naik turun bisnes. Saya tak menulisnya hari-hari. Adakala seminggu 2 kali, adakala 3 kali, bergantung kepada keperluan saya mahu meluah tentang Elsajida. 

Planner yang memang setiap hari saya akan isi dan rujuk. 

Du'a Journal ini sudah sedia ada template di dalamnya, tentang apa yang kita syukuri, apa yang kita mahu baiki, apa yang kita mahu capai berkaitan iman, dan saya juga tidak mengisinya setiap hari. Tapi catatan doa ini bagus untuk kita tulis. Kerana impian itu sangat bagus sekiranya ia turut terlakar di atas kertas. Menjadi satu doa yang inshaAllah akan dimakbulkan. 


Dalam buku nota ini semuanya catatan tentang tips atau nota bisnes, yang saya dapat dari online atau offline, atau dari buku yang saya baca. 

Saya memang lebih suka mengasingkan setiap catatan berlainan mengikut buku yang berlainan. Supaya lebih mudah untuk dirujuk dan mudah untuk dibaca. Apapun, dari usia muda lagi saya sangat suka dengan buku nota. Bagi saya apabila kita banyak menulis dengan pena, ada satu kepuasan tersendiri. Dan saya selalu percaya bahawa perancangan atau impian yang kita tulis, merupakan satu doa yang inshaAllah akan lebih mudah menjadi realiti jika ditulis di atas kertas. Ia tanda kita serius dalam usaha mahu mencapai perkara tersebut.

Moga ada manfaat yang anda boleh ambil dari entri kali ini. :)

Tuesday, November 6, 2018

Realiti Hidup Business-Founder

Bismillah.

Salah satu perkara yang saya rasa agak mencabar selama menjadi founder bisnes adalah; menangani persepsi orang lain terhadap kita. Ramai orang menganggap menjadi founder adalah perkara yang menyeronokkan, tidak stress, duit berkepuk-kepuk, boleh berjalan sini sana, pergi kelas sini-sana berkenalan dengan kawan baru, best kerja dari rumah dapat jaga anak sendiri dan pelbagai lagi yang 'kelihatan' seronok.

Tapi hakikatnya, seorang founder itu manusia biasa juga, yang diuji, yang ada tekanan tersendiri, yang ada masanya dia di bawah. Sudah berapa ramai orang bisnes yang alami tekanan sehingga perlu mendapatkan rawatan. Apalagi founder yang perlu menguruskan anak-anak & bisnes dalam masa yang sama. Pastinya jalannya tak mudah dan kesabaran yang tinggi amat diperlukan.

Selain kesabaran, salah satu perkara yang turut diperlukan oleh para founder ialah support system yang hebat. Dan saya baru sedari bahawa orang yang mampu menjadi support system terbaik bagi para founder (selain pasangan) adalah rakan-rakan founder juga. Kenapa? Kerana hanya sesama founder akan memahami segala cabaran dalam dunia bisnes. Hanya founder sahaja yang tahu bagaimana rasanya menangis kerana bisnes jatuh dan dalam masa yang sama diuji dengan perkara lain.

Bisnes ini, apabila kita tidak kuat, apabila kita tidak semangat, income kita juga akan terkesan. Kerana itu adakala ia tak mudah untuk memaksa diri sentiasa okay dan bersemangat menyiapkan task-task bisnes. Menjadi founder bisnes juga bererti anda tidak boleh berhenti mencari cara untuk improve segalanya, diri sendiri, jualan, staff.

Founder bisnes, kami dibiasakan untuk sentiasa cuba untuk positif dan berkongsi segalanya yang positif. Kerana itu, ramai yang menganggap hidup sebagai founder ni tak ada masalah, yang indah dan tenang-tenang sahaja. Tapi mereka silap, ramai founder bisnes yang saya kenal, yang di sebalik posting di FB atau IG mereka yang indah-indah atau gembira, terselit duka di hati serta beban yang amat berat.


Apabila saya masuk dalam komuniti founder, setiap hari akan ada saja salah seorang (atau lebih) yang akan mengadu itu dan ini. Dan kami selesa bercerita masalah masing-masing kerana situasi kami semua sama, dan kami amat memahami setiap apa sahaja cabaran serta ujian yang sedang dialami.

Tentang persepsi orang lain tentang founder bisnes samada yang positif atau negatif, tiada apa yang dapat dilakukan. Cuma adakala stress juga apabila orang minta derma, minta free itu ini, minta sponsor, dan apabila kami tidak dapat penuhi, mulalah dilabel sebagai kedekut atau sombong. Aduhai, kalaulah mereka faham realiti kehidupan seorang founder. Apapun, sebagai founder, yang mampu dilakukan adalah mencari support system yang baik, sebagai salah satu cara untuk mengekalkan momentum & juga kewarasan sendiri.

Untuk rakan-rakan founderku, bertahanlah dalam jalan ini. Andai diuji, moga terus kuat dan moga tak patah semangat untuk terus bangkit. Berehatlah seketika jika itu yang diperlukan. Moga Allah terus beri rezeki yang cukup kepada kita semua. Amin.


Wednesday, October 10, 2018

3 Sebab Kenapa Anda Perlu Berbisnes Ketika Muda

Bismillah.

Kalau anda ada perancangan untuk memulakan sebarang bisnes, waktu yang terbaik untuk mulakan adalah SEKARANG. Lebih awal lebih baik, lebih muda lebih utama. Di sini saya senaraikan tiga sebab kenapa lebih utama untuk memulakan bisnes ketika usia 20-30an.

1) Masih muda, masih tidak ada banyak komitmen. Jika anda masih bujang (tak kira sedang belajar atau bekerja), memulakan bisnes seawal mungkin adalah yang terbaik kerana anda masih belum ada komitmen yang banyak seperti rumahtangga atau anak-anak. Apabila berbisnes, tahun-tahun permulaan sangat memerlukan tenaga & masa yang banyak dari anda. Dan anda akan ada banyak masa untuk merasa jatuh, merasa kerugian dalam bisnes (ini semua perkara wajib dalam SEMUA bisnes), dan anda tidak perlu terlalu risau kerana tanggungan anda hanya diri anda.

2) Lebih bertenaga dan bersemangat. Dalam apa jua perkara, kita fahami bahawa jiwa anak muda memang sentiasa membara, kerana itu ia amat penting untuk disalurkan ke tempat yang sepatutnya. Jiwa muda yang kental dan bersemangat adalah antara elemen yang sangat penting dalam mengembangkan bisnes dan belajar pelbagai perkara tentang membina legasi.

3) Usia muda lebih mudah menyesuaikan diri dengan perkara baru. Anak muda lebih cepat untuk belajar tentang teknologi dan bagaimana menggunakannya untuk bisnes, apatah lagi untuk 'adapt' dengan teknologi yang adakala terlalu cepat berubah-ubah, contohnya berkaitan membuat iklan di Facebook. Ia bukan sesuatu yang mudah untuk dipelajari apatah lagi kerana sistem & algorithm Facebook terlalu kerap berubah. Dan difahami bahawa apabila kita semakin berusia, ia semakin sedikit sukar untuk kita cepat memahami teknologi baru. Bisnes sentiasa memerlukan kita untuk upgrade ilmu dan diri.

Sebenarnya ada banyak lagi sebab kenapa bisnes sebaiknya dimulakan ketika usia masih muda. Tapi saya hanya sebutkan beberapa perkara sahaja yang terlintas buat masa sekarang. Jadi kalau anda ada niat untuk memulakan bisnes, mulakan sekarang! Samada menjadi ejen dropship, stokis, atau bina brand sendiri.

Moga membantu. :)

Sunday, June 4, 2017

Bengkel Lady Boss

Bismillah.

Saya selalu tulis yang saya tak berapa minat untuk gelarkan diri saya sebagai ladyboss. Saya lebih suka gelarkan diri saya sebagai founder. Kenapa? Mudah saja, bagi saya istilah founder lebih formal, lebih matang & lebih dekat di jiwa saya. Tapi saya tak ada masalah jika perempuan lain gemar gelarkan diri mereka sebagai lady boss. Tidak ada yang salah tentangnya. :) Tapi kenapa saya tulis tajuk ladyboss? Okay, sebab siang tadi saya ada join kelas Lady Boss 101 di bawah kelolaan ABS. Semuanya dari wanita untuk wanita, terutamanya wanita yang perlu menjadi leader dan ada beberapa anak buah di bawahnya untuk dipimpin.

Sekian lama saya tak hadiri sebarang seminar berkaitan bisnes, rasanya lebih setahun juga. Kali terakhir adalah seminar Sifu Fbads sebelum raya tahun lepas. Saya memang nak join seminar lady boss ini sebab saya tahu saya amat cetek ilmu pengetahuan dalam bab menjadi pemimpin. Dari dulu saya ni sejenis yang lebih minat untuk bekerja di bawah orang (menerima arahan) dan bekerja di sebalik tabir. Jadi apabila tiba-tiba saya ada ramai pekerja di bawah saya, saya jadi buntu juga bagaimana cara terbaik untuk menjadi seorang pemimpin yang berpengaruh & ada karisma.

Walaupun bengkel ni cuma 3jam, tapi input yang saya dapat, benar-benar input yang saya perlukan & akan praktikkan semampunya. Yang paling saya suka ialah topik "Karisma Nabi" dan bagaimana kita boleh contohi Baginda Sollallahu alaihi wasallam. Bila penceramah sebut beberapa hadith dan bercerita serba sedikit tentang hadith tersebut, saya jadi sangat teruja, walaupun ada hadith yang memang saya dah tahu, tapi saya tetap seronok & impressed, macam dengar cerita yang pertama kali saya dengar. Subhanallah betapa aura baginda sollallahu alaihi wasallam tak pernah pudar sehingga kini.

Cuma satu je saya nak rumuskan tentang karisma Nabi. Bezanya karisma cari Nabi & Karisma cara barat adalah, Nabi gunakan akhlak & tingkah laku untuk mempengaruhi manusia. Sedangkan karisma barat lebih cenderung menggunakan material untuk menarik orang menyukainya/ terpengaruh. Contohnya bergambar dengan kereta mewah. Nabi tak perlu semua itu, Nabi tak ajar semua itu. 'Kos' karisma Nabi sangat murah & semua orang mampu ikuti; iaitu guna akhlak & peribadi kita. Dalam masa yang sama, cara percakapan & cara berurusan dengan orang di bawah baginda juga turut dibincangkan.

Sebenarnya kita ni amat kurang mengkaji hadith, amat kurang mengaplikasikan hadith dalam kehidupan kita. Kadang-kadang kita fikir, hadith nabi tu adalah sekadar cerita atau kisah zaman lalu. Tapi kita mungkin tak sedar bahawa kisah perang Badar/ Uhud/Khandak ada sesuatu padanya yang kita boleh praktikkan dalam menjadi seorang pemimpin. Boleh jadi juga kita tidak perasan bahawa pada proses penulisan/ pegumpulan alQuran secara berperingkat itu, ada pengajarannya yang boleh kita praktikkan pada zaman ini.

Sungguh saya rindu untuk belajar hadith. Rindu untuk mengkaji hadith, di mana padanya terdapat mukjizat demi mukjizat. Dan padanya juga tersirat hidayah buat manusia yang mencari kebenaran. Betapa ramai lagi sebenarnya yang tidak tahu apa itu hadith? Apa kategori hadith? Bagaimana ulama hadith menentukan taraf hadith? Adakah semua yang dikatakan hadith itu adalah benar-benar sahih dan datang dari Rasulullah sollallahu alaihi wasallam? Semua ini persoalan yang kita perlu jawab dan perlu kenalpasti kenapa masih ramai kurang ilmu tentang apa itu sebenarnya hadith.

Silap besar bila orang fikir bahawa hadith ni hanya untuk pelajar jurusan agama, sedangkan Rasulullah sollallahu alaihi wasallam berkata bahawa hadith tu adalah salah satu daripada dua perkara yang akan menyelamatkan kita dari kesesatan. Maka adakah hanya pelajar jurusan agama sahaja yang perlu selamat dari kesesatan? Semestinya tidak, dan semestinya hadith itu perlu dipelajari & difahami oleh semua yang bergelar Muslim.

Mudah-mudahan satu hari nanti Allah beri saya peluang untuk terus belajar hadith, tak pakar pun tak apa, asalkan saya ada ilmu tentang apa yang diajar dalam hadith & paling penting, saya praktikkan ilmu yang dipelajari itu inshaAllah.

Gambar hiasan: Bilik saya di UIA dahulu, sebagai pelajar jurusan Al Quran & As Sunnah. :)


Wednesday, April 22, 2015

Khadijah Inspirasiku

Bismillah.

 I wanna be an inspiration.

 Itu satu tagline yang ada dalam kepala saya sejak akhir-akhir ini. Saya bukanlah orang yg hebat. Belajar cuma sampai peringkat degree (walaupun dulu hati meronta-ronta nak sambung master), tak pernah ada pengalaman bekerja dan sekadar menghabiskan masa di rumah sebagai isteri dan ibu.


Apakah inspirasi yg ingin saya beri kepada wanita-wanita lain? Saya mahu wanita semua menyedari bahawa mereka mempunyai potensi yg sangat hebat jika diasah. Mereka boleh jadi hebat meski tidak melakukan kerja-kerja seperti orang lelaki. Dan sememangnya ukuran kehebatan seorang wanita bukanlah dari segi sejauh mana dia mampu berjalan seiringan dengan kaum Adam dalam bidang kerja lelaki.

Zaman sekarang, kita boleh lihat semakin lama semakin ramai orang-orang dalam bidang dakwah yg menggunakan platform tersebut untuk berniaga. Saya mahu cuba melakukan yg sebaliknya, iaitu dengan menggunakan platform bisnes sebagai jalan untuk berkongsi ilmu yg saya ada. :) Saya tidaklah seperti ustazah-ustazah yg sedia punya banyak ilmu untuk dikongsikan, namun sekurang kurangnya saya mahu ada sesuatu yg saya sumbangkan kepada masyarakat. Meski sekadar berkongsi info ringkas atau cerita agama yang memberi pengajaran.

Saya masih baru dalam dunia bisnes, tapi saya sudah nampak apa matlamat sebenar saya di sebalik keputusan saya untuk menceburi bidang yang mencabar ini. Dulu mungkin ada suara-suara yg berkata saya ini tidak menggunakan ijazah dalam bidang Quran Sunnah untuk menyebarkan ilmu (gara-gara saya tidak bekerja selepas grad), namun kini saya mahu buktikan bahawa tanpa bekerja seperti yg mereka 'suruh' itu (cikgu, pensyarah etc), saya juga mampu menyebarkan serba sedikit ilmu yg saya ada.

Inspirasi saya? Saidatina Khadijah radhiyallahu anha. Dia wanita bisnes. Dan dari bisnes, dia menyebarkan Islam serta menginfakkan hartanya. Jom bersama saya? Kita bersusah payah sedikit di dunia, demi kesenangan yg Abadi di jannahNya. InshaAllah. ♡
 
Apa platform dakwah saya?

FB: www.facebook.com/elsajida.page
Instagram: www.instagram.com/elsajida
Twitter: www.twitter.com/el_sajida

Wednesday, November 5, 2014

Saya Suka Orang Bisnes

Bismillah.

Saya suka orang yang buat bisnes. Terutamanya orang yang menjadi founder kepada sesuatu bisnes, bukan yg menyambung bisnes warisan yang sudah maju zaman berzaman. Mungkin kerana saya rasa saya memahami serba sedikit pahit manis kehidupan yang mereka lalui sejak berkecimpung dalam dunia bisnes.

Tak ada satu pun bisnes yang bermula dengan kesenangan apatah lagi kemewahan. Percayalah, banyak rintangan fizikal & mental yang dihadapi. Namun demi mencari rezeki, demi membantu memenuhi keperluan orang lain, mereka tetap tak putus asa. Tetap tak berhenti berjuang.

Bila saya lihat orang yg membuka gerai menjual makanan atau pakaian, pada saat mereka ditimpa hujan atau panas terik, mereka memilih untuk bertahan. Mereka cuba untuk terus menawarkan khidmat terbaik kepada pengguna. Bagi mereka cuaca bukanlah halangan untuk mereka terus berusaha mencari nafkah.

Kerana itu sejak saya sendiri ber bisnes, apabila saya mahu membeli dari orang lain, terutama bisnes2 kecil, saya tidak sampai hati untuk diminta kurangkan harga. Lagi2 kalau saya sekadar membeli satu dua perkara. Sekadar untuk menghargai mereka, juga untuk buat mereka gembira walaupun pada hakikatnya RM3 atau RM5 itu terlalu kecil jumlahnya.

Saya suka orang yg buat bisnes kerana saya percaya mereka adalah orang-orang yang memiliki pelbagai bentuk pengalaman. Saya yakin bahawa dunia perniagaan telah banyak mengajar mereka untuk menjadi orang yg cekal, yang selalu mengalah demi kepuasan hati orang lain, yang banyak berurusan dengan kerenah manusia. Bisnes juga menjadikan ramai orang semakin dekat dengan Tuhan. Mereka belajar dan semakin hari semakin sedar bahawa rezeki dan pelanggan adalah kuasa Tuhan satu-satunya.

Dan satu lagi yang saya suka tentang orang bisnes ialah; mereka kebanyakannya selalu merendah diri. Ramai orang bisnes yg berpakaian biasa-biasa sahaja, malah kadang2 cuma bercapal terutama pada hari biasa, sedangkan duit mereka lebih dari mencukupi kalau mereka mahu bergaya dengan mewah. 

Orang bisnes, mereka banyak manambah nilai dalam kehidupan orang lain. Mereka setiap masa mencuba untuk memberi yang terbaik untuk orang lain. Mereka selalu tersenyum meski dalam hati sarat kerisauan atau kesedihan, semuanya demi orang lain, demi pelanggan.

Orang bisnes, mereka hidup dengan banyak memberi. Masa, perkhidmatan, kata-kata yang baik, pertolongan demi pertolongan dan pelbagai lagi perkara yang mereka beri. Mungkin kerana itu mereka adalah orang-orang yg cekal, dan mampu mencipta bahagia dengan cara memberi sebanyak-banyaknya. Orang bisnes adalah antara orang-orang yang benar-benar memahami bahawa bahagia itu adalah dengan memberi.

Wallahua'lam.