Showing posts with label umrah. Show all posts
Showing posts with label umrah. Show all posts

Monday, November 12, 2018

Haji Ketika 29 Tahun, Satu Kenangan

Bismillah.

Saya baru perasan rupanya dalam pada saya banyak share itu ini tentang pergi haji, saya tak pernah betul-betul cerita macam mana saya dapat tawaran pergi haji dalam usia yang boleh dikatakan muda berbanding kebanyakan jemaah haji yang lain.

Buat pengetahuan semua, saya daftar haji pada tahun 2011. Dan kalau ikutkan, giliran saya tunaikan haji (mengikut kuota tabung haji) ialah pada tahun 2045. Waktu tu saya tak rasa sedih melihat giliran masih lambat, sebab dalam hati saya yakin bahawa kalau Allah jemput ke rumahNya, saya akan pergi jauh lebih awal dari giliran tersebut. Saya juga pernah terlintas dalam hati untuk menunaikan haji sebelum umur 30 tahun sejurus selepas saya membaca satu doa di internet berkaitan 'hajj before 30".

Pada Januari 2016, suami saya dapat tawaran menunaikan haji. Panggilan itu agak tidak disangka-sangka kerana itu kali ke-3 suami saya mendapat surat tawaran dari pihak Tabung Haji. Kali pertama ketika 17 tahun kalau tak silap saya, dan kali kedua pada tahun 2011. Namun kedua-duanya suami saya tolak atas sebab kekangan ketika itu. Dan tak silap saya, kalau kita sudah decline tawaran sebanyak dua kali, kuota kita akan gugur dan giliran akan diberikan kepada orang lain. (Tapi masih boleh buat rayuan). Suami saya sudah membuka akaun Tabung Haji sejak kecil lagi. Sebab itu gilirannya mendapat tawaran agak cepat.

Dalam flight. Di tempat duduk saya.
Dan untuk tahun 2016 tersebut, suami saya tidak ada membuat sebarang rayuan untuk menunaikan haji, kerana itu kami agak terkejut + bersyukur apabila menerima surat tawaran. Bermula dari saat itu, saya juga terus cari cara bagaimana untuk membuat surat rayuan untuk menunaikan haji bersama suami. Kalau cuma isteri (45 tahun ke bawah) yang dapat surat tawaran haji, suami tak perlu buat surat rayuan kerana automatik suami akan pergi kerana isteri wajib ada mahram yang pergi bersama. Namun jika hanya suami yang dapat tawaran haji, isteri perlu membuat surat rayuan jika ingin turut bersama-sama menunaikan haji. (boleh baca selanjutnya tentang tips rayuan haji diluluskan di SINI)

Ketika baru tiba di Mekah.

Jadi pada bulan April, saya google cara-cara menulis surat rayuan haji, cukupkan duit RM10k dalam akaun tabung haji dan submit surat tersebut. Sungguh saya rasa amat berdebar menantikan surat jawapan. Ketika itu, pihak Tabung Haji mengatakan bahawa jika saya tidak menerima apa-apa surat tawaran selewatnya bulan Ramadhan tahun tersebut, bererti rayuan saya tidak diterima.

Bilik saya di hotel Land Premium, Mekah selama sebulan.
Dan, bercucuranlah airmata saya ketika Ramadhan tahun tersebut tamat & saya tidak ada menerima sebarang surat dari pihak tabung Haji. Ketika itu saya redha tidak dipanggil dan berazam untuk membuat rayuan pada tahun berikutnya, Namun tiba-tiba pada bulan Ogos 2016, ayah mertua menghantar sms kepada saya dan beritahu bahawa pihak Tabung Haji ada menghubunginya untuk memaklumkan bahawa saya perlu memberi jawapan samada mahu menunaikan haji pada tahun tersebut atau tidak. Rupa-rupanya pihak Tabung Haji ada menghubungi saya tapi tidak berjaya kerana saya sudah bertukar ke nombor baru.

Bila saya hubungi semula pihak Tabung Haji, barulah saya dapat tahu mereka ada hantar surat tawaran kepada saya sejak bulan April lagi, yang bermakna surat rayuan saya yang sebelum itu sebenarnya telah diluluskan. Saya pun tak tahu kenapa surat tersebut tidak sampai kepada saya. Maka turun naiklah saya di bangunan Tabung Haji demi menyelesaikan urusan pendaftaran haji 2016.

Malam pertama di Mekah untuk haji 2016. Masjidilharam yang kurindu

Saya langsung tidak berkesempatan untuk mengikuti sebarang kursus haji, semuanya kerana saya dapat tahu tentang tawaran ini agak 'last minute'. Tak silap saya, ketika itu saya hanya ada 3 minggu untuk selesaikan urusan sebelum berangkat menunaikan haji pada 3hb September 2016. Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar walaupun kesuntukan masa. Cuma saya tak dapat nafikan bahwa perasaan saya ketika itu amat berdebar. Saya ada menulis di SINI tentang debaran tersebut.

Apa pengajaran yang boleh diambil dari pengalaman saya ini?

1) Giliran haji kita yang bukanlah yang sebagaimana tercatat dalam rekod tabung haji kita, tetapi bila-bila sahaja Allah jemput, itulah giliran kita. Oleh itu, jangan sedih atau putus harapan. Teruskan usaha untuk pergi menunaikan haji.

2) Kita boleh menulis surat rayuan menunaikan haji walaupun giliran kita masih lambat. Ini kerana, setiap tahun akan ada sahaja kuota yang kosong kerana sangat ramai yang tidak 'lepas' untuk pergi haji meski sudah tiba giliran mereka. Selain sebab kematian, wanita hamil serta orang yang sakit yang tidak lulus pemeriksaan kesihatannya juga tidak dapat menunaikan haji.

3) Usahakanlah dahulu untuk cukupkan RM10k sekurang-kurangnya dalam akaun tabung haji sebelum kita menggunakan duit yang kita ada untuk melancong ke negara-negara lain. Utamakan ibadah haji kerana ia adalah salah satu rukun islam yang wajib untuk kita tunaikan setelah cukup wang serta kemampuan.

4) Jika kita ada anak, bukakanlah akaun Tabung Haji secepat mungkin dan daftar haji segera (minimum RM1300 dalam akaun), percayalah bahawa ini adalah antara hadiah terbesar yang akan anak kita hargai apabila mereka dewasa kelak.

Moga Allah permudahkan jalan kita semua menuju Haramain, insha Allah.

Monday, October 29, 2018

5 TIPS SUPAYA RAYUAN HAJI DILULUSKAN

Bismillah.

Tadi ada yang tanya saya di instagram ask tentang haji, terus saya terfikir untuk menulis beberapa tips ini, sebagai panduan untuk anda yang ingin buat surat rayuan haji. Tapi tips ini cuma cara yang kemungkinan boleh membantu dalam mendapat kelulusan rayuan, bukan jaminan bahawa rayuan kita akan diterima. Ini semua ikhtiar dan terserah kepada Allah untuk menentukan. :)

Pertama: Cukupkan duit dalam akaun Tabung Haji (TH).
Semasa buat surat rayuan, pastikan kita sudah masukkan RM10k dalam akaun tabung haji kita, dan sebutkan di dalam surat tentang wang yang sudah cukup itu. Supaya pihak TH tahu bahawa kita memang serius akan pergi haji jika dipanggil dan tidak akan menolak tawaran gara-gara isu kewangan. Jika ada calon yang ditawarkan menolak tawaran, ia agak menyusahkan pihak TH kerana perlu mencari calon baru.

Kedua: Pergi kursus haji dahulu sebelum menulis surat rayuan.
Apabila pihak TH nampak bahawa kita memang sudah bersedia ke sana, inshaAllah ia adalah satu bonus juga agar rayuan kita terpilih untuk diluluskan.

Ketiga: Beritahu bahawa fizikal kita masih sihat dan muda, dan inshaAllah akan mudah untuk mengerjakan haji di samping membantu warga emas yang lain sepanjang mengerjakan haji. Isu kesihatan sangat penting untuk dipertimbangkan oleh pihak TH, kerana itu setiap calon jemaah haji perlu menjalani pemeriksaan kesihatan dan biasanya sangat ramai juga yang tidak berjaya melepasi syarat-syarat minimum kesihatan untuk menunaikan haji. (Dan jika anda seorang doktor, nurse atau memegang mana-mana jawatan yang dapat menyumbangkan tenaga semasa di sana, anda juga boleh beritahu tentangnya.)

Keempat: Jika anda seorang wanita dan ayah/suami anda mendapat tawaran, anda boleh nyatakan bahawa jika anda pergi bersama mahram anda  (yang memang gilirannya), pihak TH akan dapat jimat kuota. Macam mana tu? Kalau anda pergi dengan mahram, bermakna mahram anda tidak perlu pergi lagi buat kali kedua ketika giliran anda yang sebenarnya tiba pada masa akan datang.

Kelima: Hantar surat rayuan dengan segera. Apabila buka sahaja kaunter rayuan haji, terus tulis surat dan hantar kepada pihak TH. Boleh google contoh surat rayuan haji, ada ramai yang sudah kongsi. Biasanya kaunter rayuan dibuka sebulan dua selepas haji. Saya tak pasti bila tarikh yang tepat rayuan mula dibuka. Anda boleh hubungi Tabung Haji di talian: 03 6207 1919.

Apapun, jangan mudah berputus asa jika rayuan anda belum diterima. Teruskan membuat rayuan, dan persiapkan diri untuk mengerjakan haji. Kita hanya merancang & berusaha, tapi Allah lah yang akan menentukan bila waktunya kita akan dijemput ke sana, Dia mahu lihat apa usaha kita untuk ke sana. Dan jika kita ditakdirkan meninggal dunia sebelum sempat menunaikan haji, moga-moga ada pahala besar buat kita kerana sudah benar-benar berusaha. InshaAllah.

Pandangan Masjidil Haram dari Sofwah Tower


Saturday, December 31, 2016

TIPS SURVIVAL UMRAH UNTUK WANITA


1) Ketika tawaf: 

a) pakai seluar kat dalam jubah, bukan kain. Ini untuk mengelak dari melecet di peha yang lebih menyulitkan ibadat yang memerlukan kita untuk banyak berjalan.

b) pakai kasut bersih khas untuk tawaf. Untuk pengetahuan anda, lantai di tempat tawaf adalah lantai tile. Jadi kalau kita cuma pakai sarung kaki, agak tak selesa untuk berjalan sebab sedikit licin dan kaki pun cepat sakit. (Sarung kaki juga akan cepat koyak) Jadi disarankan agar kita memakai kasut khas untuk tawaf (kasut sarung contohnya) yang memang bersih dan tidak dipakai di tempat lain.

Rupa lantai di kawasan tawaf :)


c) Jalan secara mengiring ketika hendak masuk pusingan tawaf atau keluar dari tawaf. Jangan melawan arus. Ia lebih mudah dan paling penting, ia tidak menyusahkan orang lain yang sedang tawaf.

d) Kalau terpaksa berseorangan melakukan tawaf dan anda takut untuk lakukannya di kawasan yang betul-betul sekeliling Kaabah (kerana terlalu sesak), boleh pergi ke tingkat 1. Di sana lebih lengang dan tidak perlu bersesak dengan orang lain (cuma pusingan tawafnya lebih jauh)

Pemandangan dari level 1 Masjidil Haram

e) Untuk yang sudah uzur, boleh upah pekerja di Masjidil Haram untuk tolak di atas kerusi roda.

2) Ketika sa'ie. Sama seperti tawaf; iaitu pakai seluar di dalam jubah dan pakai kasut. Biasanya perjalanan saie lebih laju berbanding tawaf sebab kurang sesak. Jadi mengikut pengalaman saya, agak susah nak berjalan dengan laju jika sekadar memakai sarung kaki. Lebih baik berkasut. Untuk saie, anda juga boleh guna kerusi roda atau motor. Di tingkat atas sekali untuk saie, ada disediakan motor khas (lebih kurang ATV) yang boleh kita naik (kalau tak silap boleh naik berdua) dan perlu bawa sendiri. Ada bayaran dikenakan.

3) Pakai niqab. Selain untuk mengelakkan diri daripada diganggu, niqab juga membantu melindungi wajah ketika panas terik dan juga ketika ribut pasir (adakala ia berlaku). Niqab boleh dibeli sebelum berangkat ke sana atau boleh juga beli di sana. Ada banyak pilihan dengan harga yang murah.

4) Pakaian:

a) Untuk jubah, tak bawa banyak pun tak apa. Dalam 4-5 helai jubah pun sudah lebih dari cukup. InshaAllah ada masa untuk basuh jubah tu. Boleh basuh sendiri (boleh beli sabun di sana) atau hantar ke laundry service di hotel (biasanya ada servis ni di setiap hotel). Kalau tak cukup jugak, boleh beli jubah di sana. ;)

b) Di sana boleh pakai selain jubah? Boleh, nak pakai jubah seluar boleh, blouse labuh dengan skirt boleh, pakai baju kurung pun boleh. Asalkan menutup aurat. Saya faham, biasanya waktu pertama kali kita nak ke tanah suci, kita akan fikir yang di sana hanya boleh pakai jubah hitam atau telekung sahaja. :)

c) Pakai yang mudah. Lagi bagus tudung & baju yang ironless. Kalau memang kedut jugak, dan tak sempat iron + segan nak keluar sebab kedut, boleh pakai telekung kat luar jubah. Kat sana memang tak pelik pun kalau ke sana sini bertelekung. :D

d) Bawa mini telekung (yang kurang labuh daripada telekung yang biasa kita guna), dan boleh juga bawa telekung tanpa kainnya. Sebab biasanya di sana kita memang akan pakai telekung siap-siap dari hotel ke masjid, jadi lebih mudah untuk pakai telekung sahaja tanpa kainnya. Dan di masjid nanti tak ada masalah untuk solat terus walaupun tak ada kain telekung tu. Asalkan menutup aurat sempurna. Mini telekung tu juga boleh dijadikan sebagai tudung kita sepanjang di sana.

e) Jangan lupa bawa hanger. Tapi kalau lupa, boleh beli di sana. ;)

5) Bawa beg kasut.  Di Mekah terutamanya, rak kasut tidak banyak dan kalau ada pun, ada risiko kita lupa di mana rak yang kita letak kasut kita. Dan boleh jadi juga kita terpaksa keluar dari masjid menggunakan pintu yang tak sama dengan pintu ketika kita masuk. Jadi sebaiknya bawa kasut ke mana sahaja ketika kita berada dalam masjid. Ada orang guna plastik, tapi saya sarankan anda bawa sarung kasut berzip untuk mengelakkan kotoran dari kasut jatuh di dalam masjid. (Untuk Madinah, rak kasut ada banyak dan tak susah untuk cari pintu keluar yang sama, jadi kalau taknak bawa beg kasut pun tak apa, tapi tetap ada risiko kasut tertukar/diambil orang)

6) Makanan. Untuk umrah, biasanya tak timbul isu "makanan tak kena dengan tekak Melayu". Tapi kalau anda nak bawa makanan juga, cukup bawa sambal atau sos cili. Sepanjang saya pergi umrah dan haji, saya belum jumpa lagi sos cili style Malaysia di sana. Kat sana banyak fast food juga, jadi kalau sekali sekala teringin makan fast food, memang takkan lengkap rasanya kalau tak cicah sos cili Malaysia kan? :) Tapi biasanya umrah ni tak ada masalah sangat tentang makan, lagipun tempoh umrah pun tak lama. Bekalan makanan lain tak perlu bawa, sebab kat sana ada banyak mall/ supermarket. Nak beli sayur, bawang, 3 in 1, semua ada. :)

7) Isu tandas. Di Mekah, tandas memang agak jauh dari tempat solat. Kalau anda tinggalkan tempat solat untuk pergi ke tandas, biasanya anda takkan dapat duduk semula di tempat yang sama. terutamanya jika sudah hampir masuk waktu solat. (Di sana biasanya kita berada di masjid sejam sebelum azan, kalau lambat, tempat penuh dan pintu akan ditutup) Tapi untuk anda yang nak stay lama di masjid dan tak nak risau tentang masih ada tempat untuk solat atau tidak selepas balik dari tandas, anda boleh solat di bahagian bangunan masjid yang baru, bahagian extension Masjidil Haram yang ditambah, berhadapan dengan hotel Intercontinental. Ia lebih dekat dengan tandas. Dan di situ juga kurang penuh (mungkin kerana di situ jauh dengan kaabah dan tiada tempat tawaf). Saya juga sarankan anda untuk pergi solat di situ jika anda terpaksa pergi lewat sedikit ke masjid. Setengah jam sebelum masuk waktu sudah dikira lambat dan ada kemungkinan pintu masjid (bukan di bahagian bangunan baru) ditutup dan terpaksa solat di luar, adakala di luar juga penuh.

Bahagian bangunan baru.
Setakat itu sahaja yang sempat saya kongsikan buat masa sekarang. Saya belum arif tentang hukum hakam ketika di sana, tapi untuk yang bertanya tentang isu haidh ketika umrah, saya sarankan anda baca di link ini:  https://m.facebook.com/notes/sunnah/bagaimana-wanita-haid-selesaikan-umrah/335294028459/

Semoga bermanfaat!