Showing posts with label haji. Show all posts
Showing posts with label haji. Show all posts

Wednesday, December 11, 2019

40 Hari Tanpa Anak Ketika Haji

Bismillah.

Saya bukan nak kongsi tips, cuma mahu bercerita pengalaman sendiri. Mudah-mudahan boleh beri sedikit gambaran ataupun kelegaan kepada anda yang bakal menunaikan haji dan tinggalkan anak.

Waktu dapat tahu tentang rayuan haji saya diterima, perasaan agak bercampur baur. Antara teruja, bersyukur, risau, dan sedih. Sedih sebab akan tinggalkan anak yang ketika itu berumur 5 tahun. Antara perkara terawal yang saya lakukan selepas dapat tahu tentang tawaran haji tersebut ialah; pergi pada anak dan terus terang padanya bahawa saya dapat pergi haji dan akan meninggalkannya selama lebih kurang 40 hari.



Allahu, sebak sambil menaip. Sewaktu beritahu anak, kami berdua terus menangis dan berpelukan. Itu pertama kali dalam tempoh 5 tahun saya akan tinggalkannya dan biarkan dia tidur tanpa saya. Disebabkan waktu itu dia tiada adik beradik lain, perasaan sayu tu semakin kuat bertapak dalam hati. Tertanya-tanya bagaimana agaknya dia akan lalui 40 hari tanpa saya, dan tinggal bersama atok & neneknya.

Sebelum beritahu anak, sebenarnya saya ada google pengalaman orang lain yang meninggalkan anak ketika haji. Katanya, memang sangat penting untuk kita berterus-terang pada anak bahawa kita akan tinggalkannya. Memang akan ada sedih, tapi inshaAllah anak faham dan boleh terima. Itu lebih baik dari diam-diam pergi atau beritahu kita ada "kerja" tanpa menyebut mahu menunaikan haji.

Packing sebelum berangkat.

Tempoh antara saya dapat tawaran dan waktu berangkat, hanya lebih kurang 2 minggu. Jadi dalam tempoh itu memang saya sibuk ke sana sini uruskan hal yang sepatutnya. Dan dalam tempoh itu juga saya banyak bercerita dengan anak tentang haji. Sekurang-kurangnya anak juga faham apa yang kita lakukan sehingga perlu tinggalkannya. Dan dalam tempoh itu juga saya tinggalkan pesan kepadanya tentang apa yang perlu dia lakukan sepanjang ketiadaan saya dan suami.

Ketika di Imigresen di Jeddah

Sebelum pergi haji, memang saya biasa dengar orang kata, bila dah sampai di Tanah Suci nanti, kita tak akan sedih atau murung teringatkan anak. Rindu tu pasti ada, tapi bukan rindu yang melemahkan semangat. Maka saya pun percaya dengan kata-kata itu. Cuma saat yang paling menyakitkan ialah ketika malam berangkat ke Mekah, di Kelana Jaya.

Waktu itu, tak tergambar macam mana perasaan saya ketika salam peluk cium anak. Sungguh-sungguh bercucuran airmata. Bukan risaukan keadaannya sepanjang ketiadaan saya, tapi cuma sayu seandainya itu kali terakhir saya melihat anak. Saya tahu saya tidak sepatutnya berfikir yang negatif, tapi perkara tersebut bukan mustahil, boleh jadi Allah tarik nyawa dalam perjalanan, atau ketika di sana. Apatah lagi tahun sebelum itu (2015), ada insiden crane tumbang yang mengorbankan beberapa jemaah haji, dan juga insiden human centipede di Mina, yang juga turut mengorbankan nyawa.

Dipendekkan cerita, tiba sahaja dalam pesawat, Alhamdulillah hati terus tenang dan rasa lapang. Hati dan minda lebih tertumpu kepada berzikir serta bertalbiah. Mempersiapkan rohani dalam memulakan perjalanan haji. Dan sesampainya di sana, tiada rasa sebak atau sedih ketika teringatkan anak. Alhamdulillah ada aplikasi seperti whatsApp dan Line yang menghubungkan kami. Anak banyak menghantar voice note ketika saya di sana.

Di dalam pesawat. 

Selain disibukkan dengan urusan ibadah, keyakinan bahawa Allah menjaga anak saya juga menjadi penyebab hati ini mudah untuk tenang. Dan ketika di sana, baru saya tahu bahawa ramai lagi jemaah lain yang meninggalkan anak mereka yang lebih kecil berbanding anak saya. Ada yang meninggalkan bayi yang masih menyusu, hatta yang baru habis tempoh pantang! MashaAllah, kuatnya mereka. Dari situ saya semakin tenang memikirkan tentang anak.


Majdiyya (anak saya) ketika di rumah atok nenek. Baik-baik saja :)

Cuma seingat saya, saya ada juga menangis rindukan anak, di hari-hari terakhir saya di Tanah Suci. Mungkin kerana waktu itu, saya baru dapat berita tentang seorang kenalan yang kematian anak perempuannya yang sebaya anak saya. Innalillahi wa inna ilaihi rojiun. Jadi naluri keibuan saya turut terkesan dan terbayang-bayang kalau saya yang berada di tempat kenalan tadi.

Apapun, Alhamdulillah semuanya selamat pergi dan pulang. Haji terlaksana, dan kami akhirnya bertemu semula dengan permata hati yang amat dirindui. Terima kasih Allah, Engkaulah sebaik-baik Pelindung dan Penjaga.

Terima kasih Allah kerana menjemputku. 

Jadi untuk anda yang bakal menunaikan haji, jangan risau tentang anak. Yang penting, cepat-cepat beritahu anak tentang keberangkatan kita ke Tanah Suci. Kerana anak juga perlu masa untuk sediakan mental dan perasaan dalam menghadapi perpisahan sementara. Pastikan juga kita ceritakan kepada anak serba sedikit tentang haji. Supaya dia lebih faham tentang apa yang kita lakukan, dan supaya dia belajar untuk mengerti bahawa dalam hidup ini, kita perlu berkorban untuk Tuhan. :)


Friday, July 5, 2019

Perjalanan Haji Terakam di Gambar



Bismillah.

Makin teringat pada kenangan menunaikan haji pada tahun 2016. Dan untuk entri blog kali ini, saya ingin berkongsi perjalanan haji saya secara ringkas, bermula dalam penerbangan sehingga selesai menunaikan haji. Moga bermanfaat.




Dalam Airbus A380. Alhamdulillah dapat peluang untuk duduk di seat Business Class tanpa dirancang. Merasa jugak seketika. :) 



Di tempat Imigresen. Buku tentang Makkah sentiasa dibawa, supaya lebih menghargai kisah-kisah dan sirah Makkah ketika berada di sana. 



Touch down di Airport Jeddah. Tak tergambar perasaannya setelah selamat mendarat. <3 



Dalam perjalanan ke Mekah dari airport. Menaiki bas. Ketika ini kami diuji dengan bas rosak. Perlu menunggu dalam sejam lebih sebelum menyambung perjalanan. Syukur pendingin hawa dalam bas masih berfungsi. Terlelap dua tiga kali sementara menunggu bas dibaiki. :) 



Tiba di Makkah, terus letak barang di hotel dan kemudian pergi mengerjakan umrah. Terlalu panjang tempoh masa yang diambil untuk menyempurnakan umrah pada malam tersebut. Kami dihampiri seorang nenek yang keseorangan (temannya hilang dari pandangan) dan meminta kami agar membantu & menemaninya menyempurnakan umrah pada malam itu. Panjang kisah tentang nenek ini. Tapi tak apalah, lain kali boleh cerita. ;) 



MashaAllah, Kaabah yang dirindui... Lautan umat manusia yang sangat sesak, apatah lagi ketika ini memang musim haji. Sepanjang bertawaf, berulang kali minta Allah mudahkan urusan semua yang sedang bertawaf, jangan sampai ada yang jatuh atau kehilangan teman. 



Selesai tawaf, terus sambung dengan ibadah sa'ie. Waktu ini sudah pukul 1 pagi. Kami terlalu amat letih dari perjalanan jauh, dan harus berjalan jauh untuk menghabiskan sa'ie, jadi kami banyak kali berhenti berehat dan melelapkan mata seketika sebelum sambung semula sa'ie sehingga cukup 7 pusingan ulang alik safa - Marwah. 



Persediaan untuk memulakan ibadah Haji. Ia bermula dengan Wukuf di Arafah. Dalam gambar ini, taklimat sebelum berangkat ke Arafah. 



Hati berdebar sebelum memulakan ibadah haji. Berulang kali mengulangkaji dengan rakan sebilik, supaya ibadah haji sempurna dan tiada cacat celanya. 



Di khemah padang Arafah. Satu malam kami tidur di sini di bawah khemah yang terbuka. Sayu tak tergambar apabila waktu gelincir matahari, waktu selepas zohor bermulanya wukuf. Dan waktu itu semuanya bercucuran airmata berdoa tanpa henti, untuk diri, untuk yang tercinta... Terbayang berada di padang Mahsyar. 



Sudah meninggalkan Arafah, kini di Muzdalifah, mengutip batu untuk melontar di Mina selepas ini. Selepas mengutip batu kecil, kami berehat seketika di atas tikar dalam 3 jam sebelum bertolak ke Mina, sambil bertalbiah, sambil berbaring melihat langit, menangisi dosa, merintih Tuhan terima ibadah haji, meminta Tuhan ampunkan segalanya.... 



Dalam khemah kami di Mina. Sepatutnya kami terus pergi melontar Jamrah Kubra, tapi pihak Tabung Haji tangguhkan dan minta kami pergi keesokan hari, kerana terlalu sesak dan risau akan keselamatan. Jadi malam itu kami terus membersihkan diri dan berehat seketika. 



Di kawasan luar khemah Mina, sebelum bertolak untuk pergi melontar. Kawasan laluan untuk jemaah dari asia tenggara tidak bercampur dengan jemaah negara lain. Hati berdebar juga sebenarnya, kerana teringat kes haji 2015, ketika berlaku human stampede dan ramai yang maut semasa perjalanan ke tempat melontar. tapi Alhamdulilah semuanya lancar walaupun sangat sesak. Perlu berjalan kaki lebih kurang 3.5km sebelum tiba. Dan perlu lalui lagi 3.5km untuk pulang ke khemah. Persediaan fizikal sememangnya amat perlu sebelum menunaikan haji. Ada ramai juga jemaah yang pengsan, kena heat stroke dan pelbagai lagi. 



Di tempat melontar. Di tembok itulah kita baling batu, ada longkang di sekelilingnya. Alhamdulillah tidak sesak sebab melontar hanya sekejap dan askar yang mengawal di situ memang tidak benarkan kita berlama-lama di sekeliling tempat melontar. 



Setelah menginap beberapa malam di Mina, tibalah masa untuk pulang ke Makkah, untuk menyempurnakan baki ibadah Haji. Sungguh, paling hebat cabarannya buat kami kaum wanita di sini. Akan tetapi, di sinilah tempat yang sangat kami rindui, yang sangat kami insafi. 



Tiba di Makkah dan malam itu kami terus menunaikan tawaf rukun haji. Penuh sesak semestinya, tapi Alhamdulillah ada ruang untuk semua tetamu Allah. <3 



Sekali lagi menyempurnakan saie. Dan kali ini Alhamdulillah kami tidak sepenat sebelum ini, dan kami mengambil masa yang tidak lama untuk menyempurnakannya. Lepas sa'ie, hanya perlu bercukur (gunting beberapa helai rambut). 



Allahuakbar. Sempurna ibadah haji, rukun islam kelima pada jam 440am, beberapa minit sebelum masuknya waktu Subuh, 16 September 2016. Allahuakbar.... Sungguh tak sangka Tuhan menjemput seawal ini... Terima kasih Tuhan. terima lah haji ku ya Allah... 



Begitulah sedikit sebanyak yang saya dapat kongsikan tentang perjalanan menunaikan haji, dari mula berangkat sehingga sempurna ibadah haji. Alhamdulillah. Waktu saya di sana, saya ada masa dalam 2 minggu lagi selepas selesai haji untuk terus berada di bumi Mekah sebelum berangkat ke Madinah. InshaAllah nanti saya akan berkongsi lagi.



Monday, January 28, 2019

Juadah sepanjang Haji 2016

Bismillah.

Kali ni saya terasa mahu kongsi post santai sahaja berkaitan pengalaman haji. Iaitu antara juadah yang saya makan sepanjang mengerjakan haji pada tahun 2016. Jom tengok gambar. ;)


Nasi tomato (mungkin?) dengan ayam + hati goreng kunyit. Masa jumpa gerai yang jual lauk ni, terus beli sebab tekak rindu makanan Malaysia. Yang ni walaupun tak berapa macam masakan Malaysia tapi not bad. Repeat juga lepas tu. Alhamdulillah. Gerai ni ada kat area bertentangan masjidil haram, yang kena naik guna escalator terbuka, sebelah hotel Pullman/Hilton

Kat Mekah ada banyak kedai jual fastfood dan bagi saya, brand ni antara yang paling okay dengan tekak sebab ada yang spicy. Lagi sedap kalau bawa sos cili dari Malaysia sekali. ;) Broast al Rayid ni sebelah je dengan hotel kami menginap, Hotel Land Premium. 

Makanan pertama ketika dalam penerbangan, mahu bertolak ke Mekah. 

Makan-makan dalam bilik dengan roommates, ayam broast al rayid, mi segera
(di sana memang ramai juga jemaah makan mi segera sekali sekala bila tekak mula
terasa mahu makan selain makanan arab), roti dengan chocolate spread dan kunafah.

Nasi dengan sup daging. Sup ni pekat, sangat sedap Alhamdulillah. Ini antara packed food
yang kami dapat ketika di Arafah. Kalau tak silap saya, untuk sarapan. 

Antara makanan ketika di Mina. Alhamdulillah sentiasa banyak makanan.
Pagi nasi, lunch juga nasi, dan begitu juga dinner. 

Mi segera, ketika dalam khemah di Mina. Ada banyak mi segera dijual di kedai luar khemah di Mina. 

Kunafah, dibeli dari kedai yang sama dengan ayam kunyit tadi. Kali pertama saya makan kunafah dan yang ini paling sedap. Sebab saya ada juga beli dari tempat lain, tapi tak sesedap yang ini. Kalau dapat makan kunafah ni panas-panas dengan aiskrim vanilla memang umph. ;)

Masa ni harijadi kak Su, salah seorang roommate di Mekah. Kami berkumpul dan makan donut/kek bersama-sama ketika lunch. Alhamdulillah atas nikmat persahabatan ini.

 Salah satu menu packed food ketika di Madinah. 

Oren jus yang saya perah sendiri. ;) Masa ni kami banyak dapat buah, banyak yang tak termakan. Jadi penuh peti sejuk dalam bilik. Saya minta izin roommates lain untuk saya jadikan jus oren. Sedap Alhamdulillah. 

Makanan di Restoran Andalus, restoran makanan Malaysia. Puas hati sangat makan di sini. Terubat rindu pada masakan Malaysia. Kami ke restoran ini menaiki kereta milik owner restoran, mereka datang jemput di hotel. Ada yang kata Restoran ni dah tak beroperasi. :'(

Antara usaha saya untuk makan juadah yang terasa 'Malaysia'. Beli roti di kedai runcit sebelah hotel, beli sardin di Mall di Abraj tower. Tambah hirisan bawang pada sardin. Sedap Alhamdulillah. 

Guna buah yang diberi percuma, saya lenyek pisang & kurma dan campur dalam susu. <3

Makan nasi mandy. Untuk takeaway, kami dibekalkan sekali plastik untuk diletakkan nasi atasnya. Jadi makan atas plastik macam shell out. Mudah, lepas makan terus bungkus, meja tak kotor. 

Murtabak versi Mekah. Yang ni kedainya berdekatan dengan restoran Felda D'Saji, Sofwah Towers.


Alhamdulillah, itulah antara makanan yang Allah rezekikan saya untuk merasa di Tanah Suci. Memang saya tak nafikan, soal makan juga menjadi ujian di sana. Ada orang yang langsung tak dapat telan makanan di sana. Ada yang tak berapa berselera makan makanan yang disediakan oleh pihak Tabung Haji, jadi mereka lebih suka untuk beli sahaja di mana-mana restoran di sana. Ada yang boleh makan, tapi kena ada sambal/sos (sebab susah nak jumpa makanan pedas di sana). 

Apapun, pada pendapat saya, sebaiknya kita jaga tutur kata kita tentang makanan ketika di sana. Syukur dengan setiap juadah yang Allah beri. Jika tak boleh diterima tekak, tak perlu makan dan tak perlu mengeji makanan (yang ini, di mana-mana pun perlu dipraktik, ia sunnah). Cuma untuk yang memang suka makanan pedas, bawalah sambal atau sos cili banyak-banyak dari Malaysia. :) 

Kalau anda ada tahu mana-mana restoran best di Tanah Suci (yang kena dengan tekak orang Malaysia), boleh share di bahagian komen. Moga bermanfaat untuk orang lain inshaAllah.


Monday, November 12, 2018

Haji Ketika 29 Tahun, Satu Kenangan

Bismillah.

Saya baru perasan rupanya dalam pada saya banyak share itu ini tentang pergi haji, saya tak pernah betul-betul cerita macam mana saya dapat tawaran pergi haji dalam usia yang boleh dikatakan muda berbanding kebanyakan jemaah haji yang lain.

Buat pengetahuan semua, saya daftar haji pada tahun 2011. Dan kalau ikutkan, giliran saya tunaikan haji (mengikut kuota tabung haji) ialah pada tahun 2045. Waktu tu saya tak rasa sedih melihat giliran masih lambat, sebab dalam hati saya yakin bahawa kalau Allah jemput ke rumahNya, saya akan pergi jauh lebih awal dari giliran tersebut. Saya juga pernah terlintas dalam hati untuk menunaikan haji sebelum umur 30 tahun sejurus selepas saya membaca satu doa di internet berkaitan 'hajj before 30".

Pada Januari 2016, suami saya dapat tawaran menunaikan haji. Panggilan itu agak tidak disangka-sangka kerana itu kali ke-3 suami saya mendapat surat tawaran dari pihak Tabung Haji. Kali pertama ketika 17 tahun kalau tak silap saya, dan kali kedua pada tahun 2011. Namun kedua-duanya suami saya tolak atas sebab kekangan ketika itu. Dan tak silap saya, kalau kita sudah decline tawaran sebanyak dua kali, kuota kita akan gugur dan giliran akan diberikan kepada orang lain. (Tapi masih boleh buat rayuan). Suami saya sudah membuka akaun Tabung Haji sejak kecil lagi. Sebab itu gilirannya mendapat tawaran agak cepat.

Dalam flight. Di tempat duduk saya.
Dan untuk tahun 2016 tersebut, suami saya tidak ada membuat sebarang rayuan untuk menunaikan haji, kerana itu kami agak terkejut + bersyukur apabila menerima surat tawaran. Bermula dari saat itu, saya juga terus cari cara bagaimana untuk membuat surat rayuan untuk menunaikan haji bersama suami. Kalau cuma isteri (45 tahun ke bawah) yang dapat surat tawaran haji, suami tak perlu buat surat rayuan kerana automatik suami akan pergi kerana isteri wajib ada mahram yang pergi bersama. Namun jika hanya suami yang dapat tawaran haji, isteri perlu membuat surat rayuan jika ingin turut bersama-sama menunaikan haji. (boleh baca selanjutnya tentang tips rayuan haji diluluskan di SINI)

Ketika baru tiba di Mekah.

Jadi pada bulan April, saya google cara-cara menulis surat rayuan haji, cukupkan duit RM10k dalam akaun tabung haji dan submit surat tersebut. Sungguh saya rasa amat berdebar menantikan surat jawapan. Ketika itu, pihak Tabung Haji mengatakan bahawa jika saya tidak menerima apa-apa surat tawaran selewatnya bulan Ramadhan tahun tersebut, bererti rayuan saya tidak diterima.

Bilik saya di hotel Land Premium, Mekah selama sebulan.
Dan, bercucuranlah airmata saya ketika Ramadhan tahun tersebut tamat & saya tidak ada menerima sebarang surat dari pihak tabung Haji. Ketika itu saya redha tidak dipanggil dan berazam untuk membuat rayuan pada tahun berikutnya, Namun tiba-tiba pada bulan Ogos 2016, ayah mertua menghantar sms kepada saya dan beritahu bahawa pihak Tabung Haji ada menghubunginya untuk memaklumkan bahawa saya perlu memberi jawapan samada mahu menunaikan haji pada tahun tersebut atau tidak. Rupa-rupanya pihak Tabung Haji ada menghubungi saya tapi tidak berjaya kerana saya sudah bertukar ke nombor baru.

Bila saya hubungi semula pihak Tabung Haji, barulah saya dapat tahu mereka ada hantar surat tawaran kepada saya sejak bulan April lagi, yang bermakna surat rayuan saya yang sebelum itu sebenarnya telah diluluskan. Saya pun tak tahu kenapa surat tersebut tidak sampai kepada saya. Maka turun naiklah saya di bangunan Tabung Haji demi menyelesaikan urusan pendaftaran haji 2016.

Malam pertama di Mekah untuk haji 2016. Masjidilharam yang kurindu

Saya langsung tidak berkesempatan untuk mengikuti sebarang kursus haji, semuanya kerana saya dapat tahu tentang tawaran ini agak 'last minute'. Tak silap saya, ketika itu saya hanya ada 3 minggu untuk selesaikan urusan sebelum berangkat menunaikan haji pada 3hb September 2016. Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar walaupun kesuntukan masa. Cuma saya tak dapat nafikan bahwa perasaan saya ketika itu amat berdebar. Saya ada menulis di SINI tentang debaran tersebut.

Apa pengajaran yang boleh diambil dari pengalaman saya ini?

1) Giliran haji kita yang bukanlah yang sebagaimana tercatat dalam rekod tabung haji kita, tetapi bila-bila sahaja Allah jemput, itulah giliran kita. Oleh itu, jangan sedih atau putus harapan. Teruskan usaha untuk pergi menunaikan haji.

2) Kita boleh menulis surat rayuan menunaikan haji walaupun giliran kita masih lambat. Ini kerana, setiap tahun akan ada sahaja kuota yang kosong kerana sangat ramai yang tidak 'lepas' untuk pergi haji meski sudah tiba giliran mereka. Selain sebab kematian, wanita hamil serta orang yang sakit yang tidak lulus pemeriksaan kesihatannya juga tidak dapat menunaikan haji.

3) Usahakanlah dahulu untuk cukupkan RM10k sekurang-kurangnya dalam akaun tabung haji sebelum kita menggunakan duit yang kita ada untuk melancong ke negara-negara lain. Utamakan ibadah haji kerana ia adalah salah satu rukun islam yang wajib untuk kita tunaikan setelah cukup wang serta kemampuan.

4) Jika kita ada anak, bukakanlah akaun Tabung Haji secepat mungkin dan daftar haji segera (minimum RM1300 dalam akaun), percayalah bahawa ini adalah antara hadiah terbesar yang akan anak kita hargai apabila mereka dewasa kelak.

Moga Allah permudahkan jalan kita semua menuju Haramain, insha Allah.

Monday, October 29, 2018

5 TIPS SUPAYA RAYUAN HAJI DILULUSKAN

Bismillah.

Tadi ada yang tanya saya di instagram ask tentang haji, terus saya terfikir untuk menulis beberapa tips ini, sebagai panduan untuk anda yang ingin buat surat rayuan haji. Tapi tips ini cuma cara yang kemungkinan boleh membantu dalam mendapat kelulusan rayuan, bukan jaminan bahawa rayuan kita akan diterima. Ini semua ikhtiar dan terserah kepada Allah untuk menentukan. :)

Pertama: Cukupkan duit dalam akaun Tabung Haji (TH).
Semasa buat surat rayuan, pastikan kita sudah masukkan RM10k dalam akaun tabung haji kita, dan sebutkan di dalam surat tentang wang yang sudah cukup itu. Supaya pihak TH tahu bahawa kita memang serius akan pergi haji jika dipanggil dan tidak akan menolak tawaran gara-gara isu kewangan. Jika ada calon yang ditawarkan menolak tawaran, ia agak menyusahkan pihak TH kerana perlu mencari calon baru.

Kedua: Pergi kursus haji dahulu sebelum menulis surat rayuan.
Apabila pihak TH nampak bahawa kita memang sudah bersedia ke sana, inshaAllah ia adalah satu bonus juga agar rayuan kita terpilih untuk diluluskan.

Ketiga: Beritahu bahawa fizikal kita masih sihat dan muda, dan inshaAllah akan mudah untuk mengerjakan haji di samping membantu warga emas yang lain sepanjang mengerjakan haji. Isu kesihatan sangat penting untuk dipertimbangkan oleh pihak TH, kerana itu setiap calon jemaah haji perlu menjalani pemeriksaan kesihatan dan biasanya sangat ramai juga yang tidak berjaya melepasi syarat-syarat minimum kesihatan untuk menunaikan haji. (Dan jika anda seorang doktor, nurse atau memegang mana-mana jawatan yang dapat menyumbangkan tenaga semasa di sana, anda juga boleh beritahu tentangnya.)

Keempat: Jika anda seorang wanita dan ayah/suami anda mendapat tawaran, anda boleh nyatakan bahawa jika anda pergi bersama mahram anda  (yang memang gilirannya), pihak TH akan dapat jimat kuota. Macam mana tu? Kalau anda pergi dengan mahram, bermakna mahram anda tidak perlu pergi lagi buat kali kedua ketika giliran anda yang sebenarnya tiba pada masa akan datang.

Kelima: Hantar surat rayuan dengan segera. Apabila buka sahaja kaunter rayuan haji, terus tulis surat dan hantar kepada pihak TH. Boleh google contoh surat rayuan haji, ada ramai yang sudah kongsi. Biasanya kaunter rayuan dibuka sebulan dua selepas haji. Saya tak pasti bila tarikh yang tepat rayuan mula dibuka. Anda boleh hubungi Tabung Haji di talian: 03 6207 1919.

Apapun, jangan mudah berputus asa jika rayuan anda belum diterima. Teruskan membuat rayuan, dan persiapkan diri untuk mengerjakan haji. Kita hanya merancang & berusaha, tapi Allah lah yang akan menentukan bila waktunya kita akan dijemput ke sana, Dia mahu lihat apa usaha kita untuk ke sana. Dan jika kita ditakdirkan meninggal dunia sebelum sempat menunaikan haji, moga-moga ada pahala besar buat kita kerana sudah benar-benar berusaha. InshaAllah.

Pandangan Masjidil Haram dari Sofwah Tower


Monday, July 31, 2017

Pengalaman Menunaikan Haji

Saya dapat panggilan menunaikan haji sangat 'last-minute'. Tak sempat untuk betul-betul bersedia dari segi mental dan ilmu. Saya tak sempat langsung pergi ke kursus haji, cuma baca sendiri buku panduan menunaikan haji & menonton video-video di Youtube berkaitan perlaksanaan haji.
.
.

Tapi sejujurnya, saya sangat tidak bersedia dan dek kerana tiada persiapan yang cukup itulah saya jadi sangat berdebar untuk ke sana. Dan kemuncak debaran tersebut ialah pada malam berangkat ke sana, ketika tiba-tiba buku rekod kesihatan (yang nilainya seperti passport, jika tada, saya tidak dapat berangkat) saya 'hilang' ketika pengumuman check in dibuat di Kelana Jaya.
.
.

Saya rasa seperti hendak pitam ketika mencari buku tersebut. Sekelip mata terasa bagai cita-cita menunaikan haji pada tahun 2016 tidak akan kesampaian. Pintu check in sudah dibuka dan jemaah semua sudah berduyun-duyun mendaftar masuk, sedangkan saya masih kelam kabut mencari buku tersebut. MashaAllah masa tu yang terdetik di hati saya cuma "Ya Allah, adakah Kau tak izinkan aku ke Tanah SuciMu ya Allah..."
.
.

Rupanya buku tersebut tidak hilang. Ia ada di dalam beg saya dalam satu zip yang saya sendiri tak perasan kewujudannya dan tidak ingat bila saya letak di situ. Betapa perasaan berdebar itu membuatkan saya lupa banyak perkara & terasa seperti tidak berpijak di bumi nyata. Apapun, ketika itu saya betul-betul tidak mampu mengawal perasaan saat terbayang bagaimana jika saya ditahan dan tidak dapat menunaikan haji pada tahun tersebut.
.
.

Nak tahu apa lagi perkara yang menyebabkan saya rasa sangat berdebar untuk ke sana? Sebab saya fikir, bagaimana kalau itu kali terakhir saya berjumpa dengan anak saya? Bagaimana kalau saya tidak akan kembali lagi ke Malaysia? Memang kita semua berharap untuk meninggal di Tanah Suci sana kerana ganjaran yang bakal diberi, tapi hati tak betul-betul bersedia untuk terpisah selamanya dengan anak & juga ibubapa tercinta.
.
.

Bila teringatkan kes haji tahun sebelumnya (2015) iaitu kren tumbang & kes human stampede di Mina, semestinya hati saya semakin bertambah risau kalau-kalau perkara yang sama berulang pada tahun 2016.
.
.

Waktu itu saya tidak benar-benar tahu bagaimana suasana tawaf ketika musim haji (yang pastinya bersesak dengan berjuta jemaah haji lain), bagaimana hendak wuquf di Arafah dengan lautan manusia di bawah panas terik, bagaimana mahu tidur beberapa malam di Mina di dalam khemah yang ala kadar sahaja, dan bagaimana hendak pergi melontar di tempat yang pastinya sangat ramai akan berkerumun di ketiga-tiga jamrah.
.
.

Jujur saya katakan, itulah antara situasi yang saya bayangkan dan amat geruni untuk hadapi. Namun, tahukah anda bahawa semua ketakutan saya itu tidak berasas! Saya cuba senaraikan di bawah secara ringkas tentang suasana di tempat-tempat ibadah haji, supaya anda dapat gambarkan bahawa situasi sebenar adalah baik-baik sahaja inshaAllah.
.
.

TAWAF SEKELILING KAABAH: Memang kalau dilihat dari atas, kita akan rasa sangat gerun untuk sertai lautan manusia mengelilingi Kaabah. Tapi bila kita sendiri masuk dan sertai pusingan tawaf tersebut, tidaklah setiap masa susah berjalan atau berhimpit. Selama saya bertawaf di sana, Alhamdulillah ada ruang (sekali sekala ditolak itu perkara biasa, dan tidak membahayakan) untuk bertawaf cuma perlu juga berhati-hati agar tidak terjatuh. (Jangan pakai kain terlalu labuh sehingga sukar berjalan). Dan kalau rasa takut untuk bersesak, tak ada masalah, boleh pilih untuk buat tawaf di tingkat satu atau dua yang kurang sesak berbanding tingkat bawah sekali.
.
.

WUQUF DI ARAFAH: Sebelum pergi, yang saya bayangkan ialah, semua jemaah haji akan tidur di padang luas di Arafah, bersesak dengan semua jemaah haji dari seluruh dunia, berebut tandas dengan beratus ribu/berjuta jemaah wanita yang lain, dan perlu berdiri di tengah panas selepas gelincir matahari ketika masuk waktu wuquf. Tapi situasi sebenar; di Arafah, kita dibahagikan mengikut negara masing-masing dan akan tidur di khemah yang disediakan (tidur di atas tikar). Khemah yang disediakan memang sistematik, proper dan bilik air juga hanya perlu berkongsi dengan jemaah dari Malaysia sahaja. Ketika berdoa sesudah masuk waktu wuquf pula, tidaklah semuanya diwajibkan berdiri di bawah terik mentari, kebanyakan kami hanya berdoa dari dalam khemah sambil bercucuran airmata.
.
.

MABIT (BERMALAM) DI MINA: Sama dengan di Arafah. Asalnya saya terbayang bahawa saya perlu bersesak dengan jemaah haji wanita yang bercampur negara, tapi sepanjang di sana, susah benar untuk lihat kelibat jemaah haji negara lain kerana setiap khemah dibahagikan mengikut negara masing-masing (khemah Mina ada aircon cuma adakala tidak berfungsi di sesetengah khemah, tapi tak apa, Allah nak beri lebih pahala). Tentang makanan pula, tak terkira rasanya bekalan makanan yang pihak Tabung Haji beri. Dari sarapan, makanan tengahari, minum petang, makan malam. Akan ada petugas yang menghantar makanan ke setiap khemah.
.
.

MELONTAR JAMRAH: Yang ini paling mendebarkan bagi saya. Sebab teringat kes human stampede yang mengorbankan ramai jemaah pada tahun 2015. Rupanya bila nak pergi melontar, laluan menuju ke tempat melontar pun sudah dibahagikan mengikut negara! MashaAllah memang sistematik. Laluan orang Malaysia sama dengan jemaah Asia Tenggara & Turki kalau tidak silap. Sepanjang jalan menuju ke jamrah memang sesak, tapi jalan pergi dan pulang adalah berbeza. Jadi semuanya satu hala dan tidak ada masalah bertembung. Bila sampai tempat melontar, ada tiga jamrah, tiga tempat seperti telaga besar bujur dan panjang yang ada dinding tinggi di tengahnya. Dan di situ juga tidak sesak sehingga perlu berhimpit kerana bukan semua jemaah haji yang berjuta akan berkerumun. Semuanya sudah dibahagikan mengikut negara juga. Ada ramai askar bertugas yang akan memastikan sesiapa yang siap melontar perlu bersurai dari kawasan berhampiran tempat jamrah. Langsung tidak perlu berebut atau berhimpit, inshaAllah.
.
.

Maka itulah serba sedikit yang dapat saya kongsi, yang saya harap dapat membantu melegakan hati para jemaah yang bakal berangkat ke sana pada tahun ini, terutamanya wanita & para ibu. InshaAllah fikir & bayangkan yang baik-baik. Memang ramai jemaah di sana dan hati tak dapat elak dari rasa risau "ada tempat ke, muat ke", tapi satu nasihat yang saya terima dari seorang makcik, katanya Allah sudah jemput kita jadi tetamuNya, pasti Allah akan beri ruang bagi setiap tetamuNya. Tiada yang mustahil bagiNya & sentiasalah bersangka baik.
.
.

Memang ada ujian masing-masing di sana tapi inshaAllah kita akan berjaya hadapi. Sebelum ni saya tak pernah tahu bahawa rupanya ada hadith sahih yang mengatakan bahawa HAJI ADALAH JIHAD BAGI KAUM WANITA. (Dari hadith sunan Ibn Majah, Sahih Jami' as Saghir; Aisyah RA bertanya "Wahai Rasulullah, apakah ada jihad bagi wanita?” Baginda menjawab, “Jihad yang tidak ada peperangan di dalamnya, iaitu haji dan umrah."
.
.

MashaAllah, moga kita buat yang terbaik untuk jihad ini dan moga Allah permudahkan urusan ibadah haji kalian serta diberi haji yang mabrur inshaAllah. <3
.
.

Nor Sajidah Zulkafli,
Yang merindui kembara Haji. 


Saturday, December 31, 2016

TIPS SURVIVAL UMRAH UNTUK WANITA


1) Ketika tawaf: 

a) pakai seluar kat dalam jubah, bukan kain. Ini untuk mengelak dari melecet di peha yang lebih menyulitkan ibadat yang memerlukan kita untuk banyak berjalan.

b) pakai kasut bersih khas untuk tawaf. Untuk pengetahuan anda, lantai di tempat tawaf adalah lantai tile. Jadi kalau kita cuma pakai sarung kaki, agak tak selesa untuk berjalan sebab sedikit licin dan kaki pun cepat sakit. (Sarung kaki juga akan cepat koyak) Jadi disarankan agar kita memakai kasut khas untuk tawaf (kasut sarung contohnya) yang memang bersih dan tidak dipakai di tempat lain.

Rupa lantai di kawasan tawaf :)


c) Jalan secara mengiring ketika hendak masuk pusingan tawaf atau keluar dari tawaf. Jangan melawan arus. Ia lebih mudah dan paling penting, ia tidak menyusahkan orang lain yang sedang tawaf.

d) Kalau terpaksa berseorangan melakukan tawaf dan anda takut untuk lakukannya di kawasan yang betul-betul sekeliling Kaabah (kerana terlalu sesak), boleh pergi ke tingkat 1. Di sana lebih lengang dan tidak perlu bersesak dengan orang lain (cuma pusingan tawafnya lebih jauh)

Pemandangan dari level 1 Masjidil Haram

e) Untuk yang sudah uzur, boleh upah pekerja di Masjidil Haram untuk tolak di atas kerusi roda.

2) Ketika sa'ie. Sama seperti tawaf; iaitu pakai seluar di dalam jubah dan pakai kasut. Biasanya perjalanan saie lebih laju berbanding tawaf sebab kurang sesak. Jadi mengikut pengalaman saya, agak susah nak berjalan dengan laju jika sekadar memakai sarung kaki. Lebih baik berkasut. Untuk saie, anda juga boleh guna kerusi roda atau motor. Di tingkat atas sekali untuk saie, ada disediakan motor khas (lebih kurang ATV) yang boleh kita naik (kalau tak silap boleh naik berdua) dan perlu bawa sendiri. Ada bayaran dikenakan.

3) Pakai niqab. Selain untuk mengelakkan diri daripada diganggu, niqab juga membantu melindungi wajah ketika panas terik dan juga ketika ribut pasir (adakala ia berlaku). Niqab boleh dibeli sebelum berangkat ke sana atau boleh juga beli di sana. Ada banyak pilihan dengan harga yang murah.

4) Pakaian:

a) Untuk jubah, tak bawa banyak pun tak apa. Dalam 4-5 helai jubah pun sudah lebih dari cukup. InshaAllah ada masa untuk basuh jubah tu. Boleh basuh sendiri (boleh beli sabun di sana) atau hantar ke laundry service di hotel (biasanya ada servis ni di setiap hotel). Kalau tak cukup jugak, boleh beli jubah di sana. ;)

b) Di sana boleh pakai selain jubah? Boleh, nak pakai jubah seluar boleh, blouse labuh dengan skirt boleh, pakai baju kurung pun boleh. Asalkan menutup aurat. Saya faham, biasanya waktu pertama kali kita nak ke tanah suci, kita akan fikir yang di sana hanya boleh pakai jubah hitam atau telekung sahaja. :)

c) Pakai yang mudah. Lagi bagus tudung & baju yang ironless. Kalau memang kedut jugak, dan tak sempat iron + segan nak keluar sebab kedut, boleh pakai telekung kat luar jubah. Kat sana memang tak pelik pun kalau ke sana sini bertelekung. :D

d) Bawa mini telekung (yang kurang labuh daripada telekung yang biasa kita guna), dan boleh juga bawa telekung tanpa kainnya. Sebab biasanya di sana kita memang akan pakai telekung siap-siap dari hotel ke masjid, jadi lebih mudah untuk pakai telekung sahaja tanpa kainnya. Dan di masjid nanti tak ada masalah untuk solat terus walaupun tak ada kain telekung tu. Asalkan menutup aurat sempurna. Mini telekung tu juga boleh dijadikan sebagai tudung kita sepanjang di sana.

e) Jangan lupa bawa hanger. Tapi kalau lupa, boleh beli di sana. ;)

5) Bawa beg kasut.  Di Mekah terutamanya, rak kasut tidak banyak dan kalau ada pun, ada risiko kita lupa di mana rak yang kita letak kasut kita. Dan boleh jadi juga kita terpaksa keluar dari masjid menggunakan pintu yang tak sama dengan pintu ketika kita masuk. Jadi sebaiknya bawa kasut ke mana sahaja ketika kita berada dalam masjid. Ada orang guna plastik, tapi saya sarankan anda bawa sarung kasut berzip untuk mengelakkan kotoran dari kasut jatuh di dalam masjid. (Untuk Madinah, rak kasut ada banyak dan tak susah untuk cari pintu keluar yang sama, jadi kalau taknak bawa beg kasut pun tak apa, tapi tetap ada risiko kasut tertukar/diambil orang)

6) Makanan. Untuk umrah, biasanya tak timbul isu "makanan tak kena dengan tekak Melayu". Tapi kalau anda nak bawa makanan juga, cukup bawa sambal atau sos cili. Sepanjang saya pergi umrah dan haji, saya belum jumpa lagi sos cili style Malaysia di sana. Kat sana banyak fast food juga, jadi kalau sekali sekala teringin makan fast food, memang takkan lengkap rasanya kalau tak cicah sos cili Malaysia kan? :) Tapi biasanya umrah ni tak ada masalah sangat tentang makan, lagipun tempoh umrah pun tak lama. Bekalan makanan lain tak perlu bawa, sebab kat sana ada banyak mall/ supermarket. Nak beli sayur, bawang, 3 in 1, semua ada. :)

7) Isu tandas. Di Mekah, tandas memang agak jauh dari tempat solat. Kalau anda tinggalkan tempat solat untuk pergi ke tandas, biasanya anda takkan dapat duduk semula di tempat yang sama. terutamanya jika sudah hampir masuk waktu solat. (Di sana biasanya kita berada di masjid sejam sebelum azan, kalau lambat, tempat penuh dan pintu akan ditutup) Tapi untuk anda yang nak stay lama di masjid dan tak nak risau tentang masih ada tempat untuk solat atau tidak selepas balik dari tandas, anda boleh solat di bahagian bangunan masjid yang baru, bahagian extension Masjidil Haram yang ditambah, berhadapan dengan hotel Intercontinental. Ia lebih dekat dengan tandas. Dan di situ juga kurang penuh (mungkin kerana di situ jauh dengan kaabah dan tiada tempat tawaf). Saya juga sarankan anda untuk pergi solat di situ jika anda terpaksa pergi lewat sedikit ke masjid. Setengah jam sebelum masuk waktu sudah dikira lambat dan ada kemungkinan pintu masjid (bukan di bahagian bangunan baru) ditutup dan terpaksa solat di luar, adakala di luar juga penuh.

Bahagian bangunan baru.
Setakat itu sahaja yang sempat saya kongsikan buat masa sekarang. Saya belum arif tentang hukum hakam ketika di sana, tapi untuk yang bertanya tentang isu haidh ketika umrah, saya sarankan anda baca di link ini:  https://m.facebook.com/notes/sunnah/bagaimana-wanita-haid-selesaikan-umrah/335294028459/

Semoga bermanfaat!


Thursday, August 25, 2016

Tips Pergi Haji di Usia Muda

Bismillah.

Tahukah anda? Kalau anda baru mendaftar haji dalam masa terdekat ini, giliran anda menunaikan Haji adalah pada tahun 2100 ke atas? (Diberitahu dalam kursus Haji Perdana baru-baru ini.) Sanggup anda menunggu sepanjang tempoh itu?

Jangan risau. Itu cuma anggaran tahun. Tak mustahil boleh dipercepatkan lagi dengan izin Allah. Di sini saya nak kongsikan beberapa langkah yang boleh kita usaha demi mendapatkan giliran haji ketika usia muda atau sekurang-kurangnya untuk “lajukan” giliran kita. Cara-cara ni semuanya inshaAllah boleh dilakukan oleh anda semua. Saya tulis ringkas dalam bentuk point sahaja ya, supaya lebih jelas dan mudah difahamkan.

Ada 4 langkah semuanya;

 1) Buka akaun Tabung Haji.

 2) Daftar Haji. Untuk mendaftar, anda perlu ada sekurang-kurangnya RM1300 di dalam akaun Tabung Haji. Kemudian anda akan diberi jangkaan tahun berapa anda bakal menunaikan haji. Lokasi untuk mendaftar: Di mana-mana cawanganTH, laman web TH: www.tabunghaji.gov.my, Cawangan Uniteller Bank Islam dan Bank Rakyat, ATM / CDM Maybank, atau ATM BIMB

 3) Kumpulkan duit sekurang-kurangnya RM10k. Mungkin part ni kita akan rasa susah sedikit. Tapi kalau kita memang betul-betul bersungguh nak capai RM10k tu, inshaAllah tempoh menunggu tu tidak lama jika kita konsisten menabung. (Contoh cara menabung akan diberitahu di akhir artikel).

 4) a) Bila duit dalam akaun anda dah cukup RM10k, anda dah boleh mula buat rayuan. Kalau tak cukup RM10k pun sebenarnya boleh merayu, tapi kebiasaannya pihak Tabung Haji akan melihat adakah wang kita sudah mencukupi untuk membayar pembiayaan haji. Dikhuatiri jika rayuan diluluskan, tiba-tiba duit belum cukup, jadi tawaran perlu ditolak dan perlu diganti dengan orang baru. Jadi sebaiknya anda cukupkan dahulu RM10k tersebut di dalam akaun anda.

b) Setiap tahun, Tabung Haji akan membuka kaunter rayuan Haji. Anda perlu alert bilakah tarikh kaunter ini dibuka. Ia tidak dibuka sepanjang tahun. Ketika inilah ramai orang akan mula menulis surat rayuan dan menyatakan sebab-sebab kukuh mengapa pihak Tabung Haji perlu meluluskan rayuan mereka. (untuk surat rayuan ini, cubalah beri alasan dan sebab yang kuat mengapa pihak Tabung Haji perlu meluluskan rayuan anda).

c) Kalau anda nak tahu, untuk Haji tahun ini tahun 2016, ada sekitar 2500 orang sekitar Lembah Klang yang dijadualkan akan menunaikan haji, namun selepas ujian pemeriksaan kesihatan, 60% tidak lulus (atas faktor kesihatan) dan tidak dapat meneruskan proses seterusnya untuk menunaikan haji. Bermakna, ada banyak kuota baru yang kini kosong! Itu baru cerita di Lembah Klang, pastinya setiap negeri setiap daerah akan ada kuota kosong yang perlu diganti dengan orang lain. Mungkinkah anda orangnya? Tak mustahil. :)

 d) Ada lagi kuota kosong pada setiap tahun akibat kematian. Iaitu apabila calon haji itu meninggal sebelum sempat menunaikan haji pada tahun tersebut. Jika yang meninggal itu lelaki, dan dia pada asalnya mahu menunaikan haji dengan isterinya, bermakna kuota isterinya juga perlu diganti dengan orang lain. Kerana wanita yang kematian suami, di dalam tempoh iddah, tidak boleh menunaikan ibadah haji.

 e) Nak lagi kuota kosong? Yang ini mungkin tidak terlalu banyak, tetapi biasanya tetap ada, iaitu wanita yang hamil sebelum berangkat menunaikan haji. Jika dia sepatutnya menunaikan haji pada tahun sekian-sekian, tetapi ditakdirkan dia hamil sebelum berangkat, maka pihak Tabung Haji tidak akan membenarkannya menunaikan haji. Jadi akan ada lagi kuota kosong untuk anda.


Jadi jelaslah di sini bahawa sebenarnya ada sangat banyak peluang untuk anda mendapatkan kuota haji dan tidak perlu menunggu giliran tahun yang asalnya ditetapkan oleh pihak Tabung Haji untuk anda. Boleh jadi giliran anda pada asalnya ialah tahun 2048, tapi pada tahun 2018 anda sudah berjaya mendapatkan giliran setelah membuat rayuan. Tidak mustahil, dengan izin Allah.

Tentang bilakah tahun yang anda akan dapat tu, ia bergantung kepada Allah, Allah melihat usaha kita, dan percayalah, Allah tidak akan mensia-siakan setiap usaha hambaNya. Namun jika giliran itu tetap juga tidak datang seawal yang anda harapkan, usahlah kecewa, teruskan berusaha, teruskan membuat rayuan SETIAP TAHUN dan yang pasti, berdoalah di sepertiga malam tentang hasrat anda untuk mengunjungi rumahNya, buktikan anda betul-betul mahu ke sana.

Ibadah haji bukan milik orang kaya. Ia milik semua. Ada orang kaya yang tidak dapat pergi kerana masalah kesihatan, ada orang yang kurang kaya tapi dapat juga akhirnya menunaikan haji kerana gigih menabung serta tidak henti berdoa. Allah yang berhak pilih siapakah tetamuNya, maka buktikanlah kepada Dia bahawa anda sungguh-sungguh mahu ke sana dengan segera, ketika umur masih muda dan jasad masih kuat.


Nota cara menabung secara ringkas: 

1) Untuk menabung dalam tempoh 8 tahun: RM25 seminggu atau sehari RM3.60 sahaja. (Setahun ada lebih kurang 52 minggu. Setahun= RM25 x 52 minggu = RM1300. RM1300 x 8 tahun = RM10400). Atau, nak lagi cepat?

 2) Untuk menabung dalam tempoh 4 tahun: RM50 seminggu atau sehari RM7.14 sahaja. (Setahun ada lebih kurang 52 minggu. Setahun= RM50 x 52 minggu = RM2600. RM2600 x 4 tahun = RM10400).

Kesimpulannya kalau sekarang umur anda masih di awal 20-an, tak mustahil sebelum umur 30 anda sudah boleh menunaikan haji, atau selewat-lewatnya sebelum anda mencecah 40 tahun, inshaAllah fizikal masih sihat ketika itu.


P/s: Atau nak cara lebih cepat untuk dapat kuota haji, kahwinlah dengan orang yang giliran hajinya tidak lama lagi. ;) Jika suami sahaja yang mendapat tawaran, isteri boleh buat rayuan dan kebiasaannya pihak Tabung Haji akan luluskan permohonan tersebut tapi pastikan RM10k tersedia di dalam akaun Tabung Haji. Dan untuk kes isteri (yang berumur 44 tahun ke bawah) yang mendapat tawaran haji, suami tak perlu risau kerana secara automatik suami akan dapat pergi bersama isteri kerana si isteri wajib ada mahram. 

 P/s/s: Boleh betulkan jika ada mana-mana point saya yang tersilap, terima kasih. :) Silakan share untuk manfaat bersama atau sebagai rujukan anda pada masa hadapan. 


Terimalah kami sebagai tetamuMu ya Allah.