Thursday, August 25, 2016

Tips Pergi Haji di Usia Muda

Bismillah.

Tahukah anda? Kalau anda baru mendaftar haji dalam masa terdekat ini, giliran anda menunaikan Haji adalah pada tahun 2100 ke atas? (Diberitahu dalam kursus Haji Perdana baru-baru ini.) Sanggup anda menunggu sepanjang tempoh itu?

Jangan risau. Itu cuma anggaran tahun. Tak mustahil boleh dipercepatkan lagi dengan izin Allah. Di sini saya nak kongsikan beberapa langkah yang boleh kita usaha demi mendapatkan giliran haji ketika usia muda atau sekurang-kurangnya untuk “lajukan” giliran kita. Cara-cara ni semuanya inshaAllah boleh dilakukan oleh anda semua. Saya tulis ringkas dalam bentuk point sahaja ya, supaya lebih jelas dan mudah difahamkan.

Ada 4 langkah semuanya;

 1) Buka akaun Tabung Haji.

 2) Daftar Haji. Untuk mendaftar, anda perlu ada sekurang-kurangnya RM1300 di dalam akaun Tabung Haji. Kemudian anda akan diberi jangkaan tahun berapa anda bakal menunaikan haji. Lokasi untuk mendaftar: Di mana-mana cawanganTH, laman web TH: www.tabunghaji.gov.my, Cawangan Uniteller Bank Islam dan Bank Rakyat, ATM / CDM Maybank, atau ATM BIMB

 3) Kumpulkan duit sekurang-kurangnya RM10k. Mungkin part ni kita akan rasa susah sedikit. Tapi kalau kita memang betul-betul bersungguh nak capai RM10k tu, inshaAllah tempoh menunggu tu tidak lama jika kita konsisten menabung. (Contoh cara menabung akan diberitahu di akhir artikel).

 4) a) Bila duit dalam akaun anda dah cukup RM10k, anda dah boleh mula buat rayuan. Kalau tak cukup RM10k pun sebenarnya boleh merayu, tapi kebiasaannya pihak Tabung Haji akan melihat adakah wang kita sudah mencukupi untuk membayar pembiayaan haji. Dikhuatiri jika rayuan diluluskan, tiba-tiba duit belum cukup, jadi tawaran perlu ditolak dan perlu diganti dengan orang baru. Jadi sebaiknya anda cukupkan dahulu RM10k tersebut di dalam akaun anda.

b) Setiap tahun, Tabung Haji akan membuka kaunter rayuan Haji. Anda perlu alert bilakah tarikh kaunter ini dibuka. Ia tidak dibuka sepanjang tahun. Ketika inilah ramai orang akan mula menulis surat rayuan dan menyatakan sebab-sebab kukuh mengapa pihak Tabung Haji perlu meluluskan rayuan mereka. (untuk surat rayuan ini, cubalah beri alasan dan sebab yang kuat mengapa pihak Tabung Haji perlu meluluskan rayuan anda).

c) Kalau anda nak tahu, untuk Haji tahun ini tahun 2016, ada sekitar 2500 orang sekitar Lembah Klang yang dijadualkan akan menunaikan haji, namun selepas ujian pemeriksaan kesihatan, 60% tidak lulus (atas faktor kesihatan) dan tidak dapat meneruskan proses seterusnya untuk menunaikan haji. Bermakna, ada banyak kuota baru yang kini kosong! Itu baru cerita di Lembah Klang, pastinya setiap negeri setiap daerah akan ada kuota kosong yang perlu diganti dengan orang lain. Mungkinkah anda orangnya? Tak mustahil. :)

 d) Ada lagi kuota kosong pada setiap tahun akibat kematian. Iaitu apabila calon haji itu meninggal sebelum sempat menunaikan haji pada tahun tersebut. Jika yang meninggal itu lelaki, dan dia pada asalnya mahu menunaikan haji dengan isterinya, bermakna kuota isterinya juga perlu diganti dengan orang lain. Kerana wanita yang kematian suami, di dalam tempoh iddah, tidak boleh menunaikan ibadah haji.

 e) Nak lagi kuota kosong? Yang ini mungkin tidak terlalu banyak, tetapi biasanya tetap ada, iaitu wanita yang hamil sebelum berangkat menunaikan haji. Jika dia sepatutnya menunaikan haji pada tahun sekian-sekian, tetapi ditakdirkan dia hamil sebelum berangkat, maka pihak Tabung Haji tidak akan membenarkannya menunaikan haji. Jadi akan ada lagi kuota kosong untuk anda.


Jadi jelaslah di sini bahawa sebenarnya ada sangat banyak peluang untuk anda mendapatkan kuota haji dan tidak perlu menunggu giliran tahun yang asalnya ditetapkan oleh pihak Tabung Haji untuk anda. Boleh jadi giliran anda pada asalnya ialah tahun 2048, tapi pada tahun 2018 anda sudah berjaya mendapatkan giliran setelah membuat rayuan. Tidak mustahil, dengan izin Allah.

Tentang bilakah tahun yang anda akan dapat tu, ia bergantung kepada Allah, Allah melihat usaha kita, dan percayalah, Allah tidak akan mensia-siakan setiap usaha hambaNya. Namun jika giliran itu tetap juga tidak datang seawal yang anda harapkan, usahlah kecewa, teruskan berusaha, teruskan membuat rayuan SETIAP TAHUN dan yang pasti, berdoalah di sepertiga malam tentang hasrat anda untuk mengunjungi rumahNya, buktikan anda betul-betul mahu ke sana.

Ibadah haji bukan milik orang kaya. Ia milik semua. Ada orang kaya yang tidak dapat pergi kerana masalah kesihatan, ada orang yang kurang kaya tapi dapat juga akhirnya menunaikan haji kerana gigih menabung serta tidak henti berdoa. Allah yang berhak pilih siapakah tetamuNya, maka buktikanlah kepada Dia bahawa anda sungguh-sungguh mahu ke sana dengan segera, ketika umur masih muda dan jasad masih kuat.


Nota cara menabung secara ringkas: 

1) Untuk menabung dalam tempoh 8 tahun: RM25 seminggu atau sehari RM3.60 sahaja. (Setahun ada lebih kurang 52 minggu. Setahun= RM25 x 52 minggu = RM1300. RM1300 x 8 tahun = RM10400). Atau, nak lagi cepat?

 2) Untuk menabung dalam tempoh 4 tahun: RM50 seminggu atau sehari RM7.14 sahaja. (Setahun ada lebih kurang 52 minggu. Setahun= RM50 x 52 minggu = RM2600. RM2600 x 4 tahun = RM10400).

Kesimpulannya kalau sekarang umur anda masih di awal 20-an, tak mustahil sebelum umur 30 anda sudah boleh menunaikan haji, atau selewat-lewatnya sebelum anda mencecah 40 tahun, inshaAllah fizikal masih sihat ketika itu.


P/s: Atau nak cara lebih cepat untuk dapat kuota haji, kahwinlah dengan orang yang giliran hajinya tidak lama lagi. ;) Jika suami sahaja yang mendapat tawaran, isteri boleh buat rayuan dan kebiasaannya pihak Tabung Haji akan luluskan permohonan tersebut tapi pastikan RM10k tersedia di dalam akaun Tabung Haji. Dan untuk kes isteri (yang berumur 44 tahun ke bawah) yang mendapat tawaran haji, suami tak perlu risau kerana secara automatik suami akan dapat pergi bersama isteri kerana si isteri wajib ada mahram. 

 P/s/s: Boleh betulkan jika ada mana-mana point saya yang tersilap, terima kasih. :) Silakan share untuk manfaat bersama atau sebagai rujukan anda pada masa hadapan. 


Terimalah kami sebagai tetamuMu ya Allah.

Sunday, July 31, 2016

Hampir Mati (bahagian 2)

Bismillah.

Cerita kedua tentang pengalaman yang hampir meragut nyawa. Mungkin kali ni kurang debarannya sebab masih boleh bernafas, tak macam kes lemas yang hampir habis kemampuan untuk bernafas.

Tahun 2011. Ke Brunei menaiki kereta. Suami ada kerja di Miri (waktu ni kami tinggal di Bintulu, Sarawak). Dan memandangkan Brunei tidak berapa jauh dari Miri, jadi kami pun mengambil peluang ini untuk berjalan ke Brunei untuk beberapa jam.

Sewaktu dalam perjalanan pulang dari Brunei ke Miri, kami melalui satu jalan yang sangat gelap sehinggakan kami tidak dapat melihat apa-apa langsung. Terlalu gelap dan semestinya jalan di hadapan juga tidak kelihatan. Ketika itu kereta kami (kereta Kancil) terlalu laju. Dalam kegelapan serta kelajuan itu, tiba-tiba kereta kami terbang! Rupanya kami memasuki kawasan pembinaan di mana di kawasan itu terdapat banyak timbunan pasir dan tanah. Jalannya juga amat tidak rata.

Bayangkan kereta Kancil kami ketika itu yang sedang laju, meluncur laju di atas timbunan-timbunan serta longgokan pasir. Terus sekelip mata kereta kami terbang agak jauh dan sungguh, waktu itu kami tak tahu apa yang ada di hadapan. Dalam hati saya ketika itu, saya seolah-olah sudah redha jika kami jatuh ke dalam gaung atau kereta bergolek.

Namun syukur suami masih mampu mengawal kereta & tidak ada gaung di hadapan. Kereta kami terhempas semula ke atas tanah dan mati enjinnya. Suami dengan segera undurkan kereta dan memandu keluar dari kawasan itu. Bimbang kalau-kalau ada penjahat. Selepas beberapa kilometer berada jauh dari kawasan tadi, suami keluar untuk cek kereta. Almaklumlah kereta kecil & murah, mestilah bahaya jka sudah terbang dan terhempas semula. Dan syukur sekali lagi kerana tiada apa-apa kerosakan yang berlaku.

Oh, lupa untuk saya beritahu bahawa ketika itu, saya sedang mengandung 4 bulan. Bermakna kandungan masih kecil. Risau juga kalau-kalau apa terjadi. jadi kami berhenti di stesen minyak berdekatan dan saya ke bilik air untuk cek kalau-kalau ada darah yang mengalir akibat keguguran. Alhamdulillah my baby survived. :')

Setelah itu kami teruskan perjalanan pulang ke hotel di Miri dan masing-masing diam tanpa kata. Keesokan pagi, usai solat Subuh berjemaah, masih lagi kami berdua diam. Banyak termenung. Banyak merefleksi diri dan dibiarkan dengan fikiran masing-masing. Mungkin kerana kami masih lagi dalam kondisi yang seolah-olah tidak percaya apa yang berlaku kepada kami dan betapa bersyukurnya kami kerana Allah masih beri kami nyawa, malah kesihatan yang sempurna. Ya Allah betapa besarnya rahmatMu kepada kami sekeluarga.

Mudah-mudahan dengan nyawa yang masih Tuhan beri ini, kami akan terus cuba untuk membina kehidupan yang Allah redha dan diberi peluang untuk menyumbang sesuatu kepada ummah.

Amin ya Rabb.

Friday, July 29, 2016

Hampir Mati

Bismillah.

Alhamdulillah seronok pagi ni sebab dapat luangkan masa sikit untuk berblog. Tapi bila tengok jam dah 0653am, alahai cepatnya masa berlalu. Sekejap lagi nak kena kejutkan anak untuk pergi sekolah. Sebenarnya semalam teringat tentang dua pengalaman yang hampir meragut nyawa. Saya tak pernah cerita sebelum ni, hanya orang yang terdekat sahaja yang tahu. Dua kali ia berlaku.

Pertama, hampir lemas.

Saya suka berenang. Sangat-sangat suka. Saya belajar berenang sewaktu semester terakhir di UIA. Masa tu masih banyak peluang dan masa untuk berenang. Hampir setiap petang bermula jam 5pm saya akan pergi ke female sport complex semata-mata untuk pergi berenang. Berenang terasa seolah-olah satu escapism buat saya. Tak lari dari sesiapa, cuma waktu berenang, saya akan terasa tenang, rasa lupa akan semua masalah. Bersahabat dengan air yang tenang, minda benar-benar fokus pada pergerakan badan, pernafasan sendiri dan gelombang kecil air yang berada di sekeliling.

Selepas grad, saya dah tak jumpa kolam renang selain kolam renang uia yang dikhususkan untuk muslimah dan berada di tempat tertutup. Dipendekkan cerita, saya pernah datang ke KL (ketika itu saya tinggal di Johor) kerana ada urusan dan saya curi-curi masa sedikit untuk singgah di UIA semata-mata untuk berenang. Majdiyya masih kecil waktu tu, tak silap saya dia belum cecah usia setahun. Saya minta tolong seorang kawan untuk pegangkan Majdiyya sementara saya di kolam renang.

Waktu tu, saya dah tak berapa biasa berenang. Sebab hampir setahun tinggalkan aktiviti tersebut selepas baru sahaja pandai berenang. Entah macam mana, saya terus nekad untuk ke bahagian yang dalam dan berenang seperti biasa. Kerana sebelum itu saya memang sudah biasa untuk berenang menyeberangi kolam renang dari hujung ke hujung. Setiap bahagian yang paling dalam juga saya sudah redah.

Tapi waktu itu, waktu saya berenang semula selepas setahun; tak sampai 5 minit berenang, saya tiba-tiba lupa cara pernafasan yang betul. Saya lupa untuk fokus. Nafas jadi semakin pendek dan semakin banyak air yang saya telan. Waktu tu saya betul-betul terkapai sebab hampir tenggelam ke dasar dan nafas sudah semakin pendek. Semakin dibuka mulut, semakin penuh air berlumba-lumba memasuki mulut. MashaAllah waktu tu saya benar-benar rasa seperti hampir mati. Tak dapat bernafas, badan ditarik ke dasar kolam. Namun terima kasih Allah kerana masih beri peluang kepada diri ini untuk terus hidup. Lifeguard yang ada di kolam ketika nampak saya terkapai-kapai dan dengan segera dia campak pelampung ke arah saya. Syukur saya masih ada kudrat untuk menggerakkan badan sedikit ke arah pelampung dan berpaut padanya.

Sejak peristiwa itu, jika saya berenang, saya tidak berani lagi untuk pergi ke kawasan yang kaki saya tidak mampu cecah ke lantai. Trauma. Sungguh. Walaupun sebenarnya trauma dengan berenang, saya tetap lawan perasaan tersebut. Saya mahu ajar diri untuk berdepan dengan ketakutan itu serta lawan sedikit demi sedikit. Alhamdulillah hati saya masih sayangkan aktiviti tersebut. Walaupun boleh saya katakan bahawa sudah hampir 3 tahun rasanya tak berenang, tapi saya tetap sentiasa teringat-ingat akannya, masih sentiasa mahu berada di dalam air, masih kerap hati berbunga setiap kali terlihat kolam renang.

Okaylah, dah lewat nampaknya. Dah pukul 0722am. Untuk cerita kedua, inshaAllah nanti saya sambung lagi. :)

Fi hifzillah. <3

Inilah kolam renang itu. Rindu. :')

Sunday, July 24, 2016

Team El Sajida at Fronte Centre

Bismillah.

I was so sad to know that Blogger App is now no longer available for iPhone. If I were to update my blog using laptop, I am afraid it will take months. T___T

By the way, I just wanna share here the moments from the precious night that I have spent together with my staffs or known as #teamELsajida at the opening of Fronte Centre in Ampang. The owner of the centre is the regular photographer of El Sajida, Hijabella Studio. I feel so impressed about them, having big businesses at young age, mashaAllah.

I don't really wanna write much, just wanna upload some memorable photos of us. I think it has been forever since we went out together and really enjoyed ourselves like this. We have two new team members and I can say that this is the first time all of us hang out together. I am very grateful to God for sending me such an amazing team members. The team that I can rely on, the people who can do most of the tasks much much better than me.

Since the first time El Sajida have a team, the members keep changing, they come & go. And honestly the current team members are the best, in term of our bonding, as well as in term of doing our respective tasks. May Allah bless them all and give them an abudance of "rezeki yang berkat". Amin.

Enjoy the pictures!


In the meeting room. Not having a meeting, just looking around. :)

Seminar room. For any events or talks.

The youngest team member, Majdiyya. :D

Lovelies.

What I ate that night, Nasi Lemak Saleha Ampang, Green Tea, etc.

Majdiyya snapped this pic. ;)

What a great idea of business. ^_^


Love them fillah. <3


Saturday, July 16, 2016

Kali Pertama, Ayat-ayat Cinta 2.


Bismillah.

Rindu yang amat pada blog ini. Selalu singgah tapi tanpa meninggalkan apa-apa jejak. Dan Alhamdulillah kali ini ada sedikit ruang dan peluang untuk menulis beberapa kalimat dari hati, hasil dari pembacaan novel Ayat-ayat Cinta 2.

Sebenarnya terasa macam "this is so not me" ketika menulis entri ini disebabkan dua perkara; 1) Saya bukan jenis yang baca novel, saya lebih gemarkan buku non-fiction atau buku antologi cerpen/ kisah pendek. 2) Saya rasa ini pertama kali saya cuba untuk menulis review di blog ini tentang buku yang saya baca. Bukanlah review yang formal tapi serba sedikit cerita di sebalik pengalaman saya membaca novel Ayat-ayat Cinta 2. :) Terima kasih buat anda yang sudi membaca entri ini. Saya amat hargainya. <3

Sebenarnya saya amat terpanggil untuk membeli lantas membaca novel ini kerana ia adalah kesinambungan dari novel Ayat-ayat Cinta. Dan semestinya novel itu saya baca kerana ia antara novel cinta islami yang terawal berada di pasaran dan mendapat sambutan luar biasa hebat! Saya tidak menonton filemnya, hanya baca novelnya. Siapa tak kenal Fahri, Aisha & Maria kan? ;)

Saya mengambil masa yang agak lama juga untuk menghabiskan novel 1000 mukasurat ini. Alhamdulillah berjaya habiskan walaupun sejujurnya ada beberapa bahagian yang saya skip untuk baca, iaitu bahagian-bahagian Fahri berdebat atau berdiskusi secara ilmiah. Saya amat musykil mahu tahu apa yang terjadi kepada Aisha, kerana itu saya agak terganggu jika terlalu banyak diskusi ilmiah yang perlu dibaca. Maaf Kang Abik. Tapi diskusi itu semua sememangnya terlalu hebat serta sangat informatif, cuma saya yang memilih untuk skip ketika proses pembacaan. 

Perasaan ketika membaca novel ini? Sudah tentu amat bercampur baur, namun yang paling banyak adalah rasa sayu. Sayu saat Fahri rindukan Aisha dan terluka hatinya tatkala tidak mengetahui apa yang terjadi kepada buah hatinya Aisha. Juga terbit rasa kagum dengan Fahri, yang mencuba sehabis baik untuk berdakwah menggunakan akhlak yang mulia, dengan cara membalas kejahatan dengan kebaikan demi kebaikan. Namun tertanya juga, apakah benar-benar wujud insan yang terlalu sempurna seperti Fahri?

Antara perkara lain yang amat menggembirakan hati saya ketika membaca novel ini ialah latar belakang kisahnya; iaitu di Scotland. Negara yang amat dekat di hati saya kerana di situlah saya dilahirkan. Membaca cerita yang dipetik satu persatu tempat di negara itu, benar-benar terasa nostalgik meski saya tidak lama berada di sana, malah masih terlalu kecil untuk mengingati setiap momen istimewa. 

Jalan cerita novel ini, saya rasakan cukup teratur. Cerita satu persatu diselitkan, watak demi watak diperkenalkan dan tidak sukar untuk difahami jalan penceritaannya. Terlalu banyak tanda tanya yang menyebabkan tangan ini tidak mampu berhenti dari membelek helaian demi helaian sehingga saya temui jawapannya. Terlalu ramai wanita baik dan cantik yang muncul di sepanjang cerita namun bagaimanakah akhirnya penghujung kisah Fahri dengan wanita yang dihadirkan dalam hidupnya? Dan di mana sebenarnya Aisha? 

Apapun, antara mutiara berharga yang dipelajari dari kisah Ayat-ayat Cinta kali ni ialah;

1) cinta yang kuat kepada seseorang mampu memberi kita kekuatan untuk meneruskan perjuangan

2) benarlah bahawa akhlak yang mulia itu melebihi segalanya

3) kesucian diri ternyata lebih penting dari paras rupa yang hanya sementara

4) bahagia itu ada, carilah dalam diri kita, minta dari Dia

5) Betapa besarnya pengorbanan mereka yang mempertaruhkan nyawa demi menjaga agama

6) Aisha, Hulya, Sabina.... daku ingin jadi seperti kalian!



Jumpa lagi. :')



The book. And me.

Tuesday, April 12, 2016

Berkenaan Isu Dr Zakir Naik

[KENYATAAN MAULANA MUHAMMAD ‘ASRI BIN YUSOFF BERKENAAN ISU DR ZAKIR NAIK]

Cuba fikir, Dr Zakir Naik(DZN) ini tinggal di India yang kerajaannya Hindu dengan jutaan penduduk Hindu. Bagaimana kerajaan Hindu di sana boleh membenarkan DZN membuka stesen TV sendiri, buat pelbagai kerja dakwah di sana, berbincang secara terbuka dengan orang yang beragama Hindu? Tidak pula kerajaannya berasa terancam atau berasa ianya menyentuh sensitiviti masyarakat kaum Hindu. 

Masyarakat Hindu atau mereka yang beragama lain juga tidak pula berasa takut pun! Kalau orang masuk Islam pun, mereka pun tak kisah pun. DZN sudah pergi ke merata dunia dan disambut dengan begitu baik sekali termasuk di negara-negara bukan Islam sekalipun. Kenapa kita sendiri di Negara Islam yang menggunakan sistem demokrasi pula tidak berani untuk mengadakan program ini kerana hanya tekanan segelintir ahli daripada kumpulan Hindraf. Setakat itu sahajakah kekuatan orang Islam di Negara Islam ini?

Sebenarnya kita tidak perlu takut dengan tekanan sebegini. Jika ianya benar-benar berlaku, mereka akan terus memberi tekanan pula di kemudian hari. Sampai bila akan dapat berdakwah? Melalui program sebegini, kita bukan nak mengata, nak menghina, sumpah seranah kepada orang Hindu!

Kita orang Islam bebas nak berdakwah sementelah pula kita berada di Negara Islam yang menggunakan sistem demokrasi. Berbeza sekali keadaannya dengan Negara India. Kita bukan nak adakan program sebegini selalu, hanya sekali sekala sahaja, itu pun kita berasa takut! Ingat tak kita, setiap kali hari raya kita selalu baca “walau karihal kaafirun, walau karihal musyrikun” (walaupun orang kafir dan orang musyrik tidak menyukai). Kita nak buang ke lafaz arab tersebut? Sebab kalau nak kira, itu pun boleh menyentuh sensitiviti agama juga.

Sepatutnya dibiarkan program baik ini berjalan dengan lancer dan ianya akan menjadi peluang kepada masyarakat kita untuk menyertainya. Kenapa kita nak memenangkan segelintir orang Hindu itu yang akan menyebabkan mereka semakin berani di masa depan

Berkenaan dengan dakwaan bahawa ada fatwa daripada ulama Deobandi tentang kedudukan DZN, saya ingin bertanya kepada mereka yang timbulkan perkara ini; kenapa tidak mahu menggunakan fatwa ulama Deobandi tentang majlis Maulud Nabi SAW, kenduri arwah malam ke 1,3, dan 7, aktiviti seperti zikir menari dan qasidah di kuburan?? Soal ulama itu tak setuju dengan seseorang ini adalah suatu perkara yang biasalah. Kita pun tidak mengatakan yang DZN ini lebih alim daripada Maulana Zakaria Kandhlawi rhm (merujuk kepada ulama Deobandi), cuma mereka berada dalam bidang masing-masing. Kalau betul-betul nak guna fatwa ulama Deobandi, contohnya dalam soal cukur janggut boleh menyebabkan seseorang menjadi fasiq. Betapa ramai orang kita yang cukur janggut termasuk para mufti di sini pun.

Perlu diingat, DZN seorang yang baik dan sangat cemerlang di bidangnya. Inilah masanya untuk kita sambut baik kedatangannya. Sepatutnya pihak PDRM memberi kerjasama yang baik dengan menjaga keselamatan dan keamanan sepanjang program berlangsung.

Saya berharap segala halangan kepada program DZN ditarik balik dengan segera.

Akhukum fil Islam,

Muhammad ‘Asri Bin Yusoff
Kubang Kerian
11 April 2016

(Disalin berdasarkan rakaman perbualan telefon)