Showing posts with label syukur. Show all posts
Showing posts with label syukur. Show all posts

Thursday, April 3, 2014

Bahagia dengan Memberi

Bismillah.

Saya percaya dan yakin bahawa setiap kita ada impian masing-masing yang ingin dicapai dalam hidup. Dan seandainya kita cuba senaraikan segala keinginan kita tentang hidup ini, sudah pasti kita akan dapati bahawa hampir kesemua cita-cita tersebut adalah untuk diri sendiri. Kita acapkali beranggapan bahawa kita akan memiliki kepuasan yang maksima jika kita akhirnya mencapai segala apa yang kita hajati.

Namun pada hakikatnya kita mungkin lupa bahawa kepuasan hidup itu sebenarnya datang apabila kita berjaya memberi manfaat kepada orang lain, membahagiakan orang yang kita sayang, memberi sebanyak-banyaknya kepada yang kurang mampu, membantu orang yang memerlukan pertolongan dan segala-galanya tentang menambah nilai kepada kehidupan orang lain.

Kita mungkin fikir wang di dalam dunia ini terhad. Dan nikmat yang Dia beri tidak cukup luas. Kerana itu kita takut dan berat hati untuk memberi, tidak kiralah dalam bentuk apa sahaja. Kita takut memberi, kerana beranggapan, apa yang milik kita akan berkurang. Kita berat hati untuk berkongsi, kerana kita risau hak kita perlu dibahagi-bahagikan. Lantas kita lupa dengan konsep what you give, you get back MORE. 

Agama kita terlalu indah. Ia mengajar kita untuk berkongsi dan sentiasa memberi. Kenapa agaknya ada hadith yang mengatakan bahawa sebaik-baik manusia adalah yang banyak memberi manfaat kepada manusia lain? Kenapa Rasulullah sollallahu 'alaihi wasallam mengatakan bahawa antara doa yang makbul adalah doa seorang muslim kepada saudaranya yang lain secara sembunyi, malah diaminkan oleh para malaikat? Kenapa Allah menyuruh kita untuk tolong-menolong atas perkara kebaikan?

Jika difikirkan, sudah pasti kerana terdapat kelebihan yang sangat besar apabila setiap dari kita ini punya keinginan yang kuat untuk terus memberi manfaat kepada orang lain. Allah menjadikan hati kita ini bahagia serta puas apabila kita mampu membahagiakan orang lain dan membantu memudahkan hidup mereka. Manusia yang kaya adalah yang paling banyak memberi kepada orang lain, bukan yang mengumpul harta untuk diri sendiri (atau keluarga sendiri semata-mata).

Memberilah, kerana Allah pasti membalas dengan lebih berganda
Memberilah,  kerana di situ lahirnya bahagia
Memberilah, kerana apa yang ada bukan hanya milik kita
Memberilah, kerana kaya itu bukan pada harta, tapi jiwa
Memberilah, kerana di situlah kepuasan hidup akan terasa.

Apalah erti hidup ini jika sekadar menerima dan menerima.

Wallahua'lam.

Tuesday, February 4, 2014

Kita punya Dia.

Bismillah.

Tazkirah Maghrib hari ni
Tentang betapa kita tak menjadi seorang yg bersyukur

Kita ada hidup yg sempurna
Ada ibu bapa yg sangat baik
Ada anak yg sempurna dan bijak
Ada makanan dan pakaian yg cukup
Tapi kita tak terasa semua tu satu nikmat besar

Sekali Allah tarik nikmat kecil dari hidup kita
Sedetik Allah uji kita dengan kehilangan yg sedikit
Barulah kita terasa betapa sukar untuk hidup seperti biasa
meski hanya kekurangan satu nikmat

Bersyukurlah dengan nikmat yg Allah beri
Berhenti bersedih tatkala melihat orang lain lebih kaya
Berhenti mengeluh saat terasa anak orang lain lebih bijak dari anak kita
Usah membandingkan nikmat dunia dengan orang yg diberi kelebihan

Percayalah
Setiap orang yang kita temui
Setiap jiwa yang kita kenali
Pasti mereka pernah kehilangan sesuatu yg mereka sayang
Pasti mereka pernah mengalami satu fasa hidup yg sukar
Yakinlah
Setiap manusia ada ujian yg Allah beri
Setiap mata pernah menangis tatkala beban di pundak terasa tak tertanggung lagi

Itulah kita
Itulah rencana kehidupan
Yang takkan henti dihuni dugaan
Saat bahagia
Bersyukurlah
Saat derita
Bersabarlah...

Allah ada.
Dia selalu ada.
Kelmarin Dia menolong kita.
Esok, Dia tetap akan menolong kita.