Showing posts with label daughters. Show all posts
Showing posts with label daughters. Show all posts

Wednesday, December 11, 2019

40 Hari Tanpa Anak Ketika Haji

Bismillah.

Saya bukan nak kongsi tips, cuma mahu bercerita pengalaman sendiri. Mudah-mudahan boleh beri sedikit gambaran ataupun kelegaan kepada anda yang bakal menunaikan haji dan tinggalkan anak.

Waktu dapat tahu tentang rayuan haji saya diterima, perasaan agak bercampur baur. Antara teruja, bersyukur, risau, dan sedih. Sedih sebab akan tinggalkan anak yang ketika itu berumur 5 tahun. Antara perkara terawal yang saya lakukan selepas dapat tahu tentang tawaran haji tersebut ialah; pergi pada anak dan terus terang padanya bahawa saya dapat pergi haji dan akan meninggalkannya selama lebih kurang 40 hari.



Allahu, sebak sambil menaip. Sewaktu beritahu anak, kami berdua terus menangis dan berpelukan. Itu pertama kali dalam tempoh 5 tahun saya akan tinggalkannya dan biarkan dia tidur tanpa saya. Disebabkan waktu itu dia tiada adik beradik lain, perasaan sayu tu semakin kuat bertapak dalam hati. Tertanya-tanya bagaimana agaknya dia akan lalui 40 hari tanpa saya, dan tinggal bersama atok & neneknya.

Sebelum beritahu anak, sebenarnya saya ada google pengalaman orang lain yang meninggalkan anak ketika haji. Katanya, memang sangat penting untuk kita berterus-terang pada anak bahawa kita akan tinggalkannya. Memang akan ada sedih, tapi inshaAllah anak faham dan boleh terima. Itu lebih baik dari diam-diam pergi atau beritahu kita ada "kerja" tanpa menyebut mahu menunaikan haji.

Packing sebelum berangkat.

Tempoh antara saya dapat tawaran dan waktu berangkat, hanya lebih kurang 2 minggu. Jadi dalam tempoh itu memang saya sibuk ke sana sini uruskan hal yang sepatutnya. Dan dalam tempoh itu juga saya banyak bercerita dengan anak tentang haji. Sekurang-kurangnya anak juga faham apa yang kita lakukan sehingga perlu tinggalkannya. Dan dalam tempoh itu juga saya tinggalkan pesan kepadanya tentang apa yang perlu dia lakukan sepanjang ketiadaan saya dan suami.

Ketika di Imigresen di Jeddah

Sebelum pergi haji, memang saya biasa dengar orang kata, bila dah sampai di Tanah Suci nanti, kita tak akan sedih atau murung teringatkan anak. Rindu tu pasti ada, tapi bukan rindu yang melemahkan semangat. Maka saya pun percaya dengan kata-kata itu. Cuma saat yang paling menyakitkan ialah ketika malam berangkat ke Mekah, di Kelana Jaya.

Waktu itu, tak tergambar macam mana perasaan saya ketika salam peluk cium anak. Sungguh-sungguh bercucuran airmata. Bukan risaukan keadaannya sepanjang ketiadaan saya, tapi cuma sayu seandainya itu kali terakhir saya melihat anak. Saya tahu saya tidak sepatutnya berfikir yang negatif, tapi perkara tersebut bukan mustahil, boleh jadi Allah tarik nyawa dalam perjalanan, atau ketika di sana. Apatah lagi tahun sebelum itu (2015), ada insiden crane tumbang yang mengorbankan beberapa jemaah haji, dan juga insiden human centipede di Mina, yang juga turut mengorbankan nyawa.

Dipendekkan cerita, tiba sahaja dalam pesawat, Alhamdulillah hati terus tenang dan rasa lapang. Hati dan minda lebih tertumpu kepada berzikir serta bertalbiah. Mempersiapkan rohani dalam memulakan perjalanan haji. Dan sesampainya di sana, tiada rasa sebak atau sedih ketika teringatkan anak. Alhamdulillah ada aplikasi seperti whatsApp dan Line yang menghubungkan kami. Anak banyak menghantar voice note ketika saya di sana.

Di dalam pesawat. 

Selain disibukkan dengan urusan ibadah, keyakinan bahawa Allah menjaga anak saya juga menjadi penyebab hati ini mudah untuk tenang. Dan ketika di sana, baru saya tahu bahawa ramai lagi jemaah lain yang meninggalkan anak mereka yang lebih kecil berbanding anak saya. Ada yang meninggalkan bayi yang masih menyusu, hatta yang baru habis tempoh pantang! MashaAllah, kuatnya mereka. Dari situ saya semakin tenang memikirkan tentang anak.


Majdiyya (anak saya) ketika di rumah atok nenek. Baik-baik saja :)

Cuma seingat saya, saya ada juga menangis rindukan anak, di hari-hari terakhir saya di Tanah Suci. Mungkin kerana waktu itu, saya baru dapat berita tentang seorang kenalan yang kematian anak perempuannya yang sebaya anak saya. Innalillahi wa inna ilaihi rojiun. Jadi naluri keibuan saya turut terkesan dan terbayang-bayang kalau saya yang berada di tempat kenalan tadi.

Apapun, Alhamdulillah semuanya selamat pergi dan pulang. Haji terlaksana, dan kami akhirnya bertemu semula dengan permata hati yang amat dirindui. Terima kasih Allah, Engkaulah sebaik-baik Pelindung dan Penjaga.

Terima kasih Allah kerana menjemputku. 

Jadi untuk anda yang bakal menunaikan haji, jangan risau tentang anak. Yang penting, cepat-cepat beritahu anak tentang keberangkatan kita ke Tanah Suci. Kerana anak juga perlu masa untuk sediakan mental dan perasaan dalam menghadapi perpisahan sementara. Pastikan juga kita ceritakan kepada anak serba sedikit tentang haji. Supaya dia lebih faham tentang apa yang kita lakukan, dan supaya dia belajar untuk mengerti bahawa dalam hidup ini, kita perlu berkorban untuk Tuhan. :)


Tuesday, December 18, 2018

Big Bad Wolf 2018

Alhamdulillah tahun ini saya berkesempatan untuk mengunjungi pesta buku Big Bad Wolf (BBW) sebanyak 2 kali trip. Trip pertama pada preview day dan trip kedua pada Ahad lepas, 16 Disember. Sebenarnya saya tidak sangka akan diberi rezeki untuk dapat VIP pass untuk masuk sehari awal dari BBW dibuka untuk public.

Trip pertama, saya pergi bertiga sahaja dengan anak-anak. Dan niat di hati memang mahu fokus beli buku anak sahaja, terutamanya untuk anak sulung saya yang berumur 7 tahun. Untuk anak kedua yang baru berumur setahun, saya cuma belikan satu buku, kerana buku lain masih banyak (buku kakaknya). Untuk trip pertama, saya habiskan masa selama 1 jam 30 minit di sana. Tempoh tersebut agak pendek sebenarnya kerana saya hanya sempat cari buku anak-anak dan tidak sempat berlama-lama di bahagian buku dewasa.

Untuk trip kedua pula, saya ke sana dengan anak-anak serta ditemani seorang kawan. Alhamdulillah kali ini saya dapat fokus untuk beli buku sendiri kerana dari awal saya sudah beritahu pada anak bahawa saya tidak akan ke bahagian buku kanak-kanak untuk trip kali ini.

Sudah beberapa tahun sebenarnya saya tidak pergi ke BBW, salah satu sebabnya ialah lokasi event tersebut yang agak jauh dari rumah, dan suami tidak berapa berminat untuk bersesak-sesak di pesta buku, suami lebih suka untuk beli di kedai buku. Jadi bila tahun ini saya berpeluang ke BBW sebanyak dua kali dan dapat beli buku-buku yang diingini, saya amat bersyukur & hargai peluang ini.

Kalau nak tahu, inilah kali pertama saya pergi ke BBW untuk mencari buku berkaitan bisnes. Bermakna, BBW saya yang terakhir saya pergi sebelum ini adalah pada tahun 2013, mungkin. Saya tidak berapa ingat. Kerana saya mula berbisnes pada tahun 2014. Tahun-tahun sebelum ini, saya ke BBW semata-mata untuk mencari buku parenting, novel, self help & buku kanak-kanak.

Apapun, doa saya agar semua buku yang saya beli kali ini, dapat memberi manfaat yang banyak dan berbaloi untuk kehidupan saya & orang lain. Tak penting cepat atau lambat habiskan semua buku tersebut, kerana yang lebih penting ialah, samada saya praktikkan ilmu yang ada dalam buku-buku tersebut atau tidak. Moga Allah permudahkan.

Jumpa tahun depan BBW, inshaAllah!

Trip pertama, 6 Disember 2018.

Trip kedua, 16 Disember 2018.

Buku-buku yang saya beli untuk diri sendiri dari BBW 2018.



Tuesday, October 16, 2018

Munajat Malam

Bismillah.

 Waktu malam selepas anak-anak tidur, saya sangat mudah tersentuh hati mengalirkan airmata memikirkan manusia-manusia penting dalam hidup. Antara sedih, risau, terharu, rindu. Bercampur semuanya.

Saya selalu rasa terharu dan terlalu sebak memikirkan baiknya Allah memberi aku dua anak penyejuk hati ini, banyaknya bahagia yang Allah beri kepadaku melalui anak-anak ini. Dan apabila mengenangkan demikian, saya pun pasti akan mula terbayang bagaimana agaknya mereka ini andai saya pergi dahulu meninggalkan mereka. Allahuakbar, terlalu sedih untuk digambarkan.

Suka atau tidak, satu masa kita tetap akan perlu berpisah dengan insan-insan kesayangan kita. Dan, sungguh saya rasa tidak bersedia untuk kehilangan mereka. Meski itu lumrah dunia, setiap yang hidup akan mati, namun tetap tidak dapat menidakkan perasaan sedih yang mencengkam sanubari.

Apabila terbayangkan ibu juga airmata ini terlalu cepat mengalir. Terbayang ibu pasti rindukan anak-anak sebagaimana kita merindukan anak kita walau anak cuma ke sekolah sebentar. Apatah lagi ibu tua yang sudah tinggal jauh dengan anak-anak. Allahu... Ya Allah, aku mohon Kau beri aku peluang untuk berbakti kepada kedua ibubapaku selama hayat mereka. Aku mohon Kau murahkan rezeki aku agar aku dapat bahagiakan mereka dengan memberi apa sahaja yang mereka minta. Ya Allah aku ingin bersusah payah untuk mereka sebagaimana mereka bersusah payah membesarkan aku.

Untuk anak-anakku, andai Kau ambil aku dahulu dari mereka, jagalah mereka ya Allah kerana Engkaulah sebaik-baik penjaga. Pimpinlah mereka di bawah hidayahMu ya Allah, dan bawalah mereka jauh sejauh-jauhnya dari dosa & kemungkaran. Kerana aku mahu bertemu mereka semula di Syurga.

Dan untuk suamiku, halalkanlah segalanya, moga diampunkan segala dosaku, dan moga dikau redha akanku, supaya di Akhirat kelak aku akan bisa memilih mana-mana pintu syurga yang aku mahu. Allahuakbar, matikan aku dalam iman. Matikan aku saat Kau sudah menerima taubatku, matikan aku dalam sujudku padaMu...

Tuhan, aku benar-benar ingin sebuah kehidupan bererti, yang meninggalkan bakti & budi... Yang penuh kecintaan pada Ilahi... yang bukan mengejar duniawi tetapi yang mencari bekal untuk dibawa ke firdausi.

Tuhan, terima kasih untuk hidup ini...